BENCANA banjir membawa banyak kemusnahan dan merosakan harta benda termasuk peranti digital seperti komputer, laptop, unit pemprosesan pusat (CPU), tablet dan telefon pintar selain storan digital seperti pemacu pena, cakera keras luaran, kad SIM dan kad memori.
Pelbagai maklumat serta data disimpan di dalam peranti digital tersebut dan nilainya sudah tentu amat berharga. Apa yang merisaukan ialah maklumat dan data tersebut musnah akibat banjir dan tidak dapat dipulihkan kembali.
CyberSecurity Malaysia berkongsi tip mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan peranti dan media storan digital berada dalam keadaan baik walaupun telah ditenggelami banjir.
Tujuannya adalah untuk membaik pulih dan mendapatkan kembali maklumat dan data yang disimpan di dalam peranti dan media storan digital tersebut.
Ikuti tujuh langkah-langkah mudah ini:
1. Bertindak segera
Untuk mengelakkan karat, bertindak segera bagi mendapat peluang pemulihan data yang lebih tinggi.
2. Utamakan keselamatan
Pastikan peranti digital dicabut dari palam sumber kuasa apabila mengeluarkan cakera keras daripada komputer.
3. Jangan hidupkan peranti
Jangan cuba menghidupkan peranti digital dan media storan anda kerana ini akan memburukkan lagi kerosakan.
4. Pastikan media storan digital seperti sedia kala
Jangan keringkan, bersihkan atau basuh media storan digital yang terjejas oleh banjir kerana sangat sensitif dan terdedah kepada calar yang boleh memusnahkan data yang disimpan.
5. Jangan DIY (buat sendiri)
Media storan digital yang rosak akibat banjir memerlukan penyelesaian dan prosedur pembersihan khusus termasuk persekitaran bilik yang bersih untuk memulihkan data.
6. Kedapkan alat media storan
Dinasihatkan untuk memasukkan media storan digital di dalam beg plastik kedap udara.
7. Dapatkan bantuan profesional
Mendapatkan bantuan profesional untuk memulihkan media storan digital yang rosak akibat banjir.
Secara ringkasnya, orang ramai yang terkesan akibat bencana banjir boleh mendapatkan perkhidmatan pemulihan data melalui MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia.
Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kebocoran data atau maklumat kerana proses pemulihan data yang dijalankan adalah berdasarkan prosedur dan amalan terbaik keselamatan siber.
Segala kerahsiaan maklumat serta data yang dibaik pulih dijamin terpelihara.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cybersecurityclinic.my atau [email protected] (bantuan teknikal). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram