KECOH di media sosial pada Selasa apabila Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dikatakan gagal dalam menguruskan bencana banjir yang sedang melanda negara.
Lebih menyedihkan apabila ada laporan berita mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada agensi terbabit.
Seorang pengguna Facebook, Farhan Ismail menyifatkan matlamat utama agensi kerajaan berkaitan adalah untuk menyelamatkan nyawa lebih-lebih lagi dalam situasi mendesak seperti kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa kawasan di Selangor pada Sabtu.
Dia berkata, prinsip nyawa melebihi segalanya harus diguna pakai dalam keadaan getir dan darurat sedemikian.
TANGKAP layar hantaran status Farhan di Facebook pada Selasa. — Facebook
"Langgar dulu semua protokol dan birokrasi. Matlamat kita nak selamatkan orang. Kalau nak buat prosedur operasi standard (SOP) sampai mamp** orang tu abaikan dulu SOP," katanya menerusi catatan di Facebook pada Selasa.
Menurut Farhan, dalam keadaan mendesak, semua agensi berkaitan sepatutnya lebih cakna dan turun padang dengan segera bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan.
Katanya, kegagalan agensi yang kononnya sebagai badan bencana alam, menyalurkan bantuan dengan cepat menunjukkan ketidakcekapannya dalam melaksanakan tugas.
"Tiga hari bantuan masih belum lambat tiba, ini adalah penanda aras kegagalan agensi yang kononnya sebagai badan bencana alam.
"Bila tengok anggota ATM papah keluar orang-orang tua, apalah dalam fikiran agensi kerajaan yang masih lagi lambat bertindak dan tiada koordinasi.
"Kalau saya jadi menteri, saya dah kerah segala aset yang ada, semua agensi berkait turun padang. Takkan gred 11 dan 19 jadi tukang pembuat dasar juga?," tulisnya.
NASIHAT Farhan agar orang ramai lebih bersiap siaga berdepan bencana banjir pada masa depan. — Facebook
Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, Farhan berkata, orang ramai boleh mengambil iktibar dengan menyiapkan barang-barang penting dan makanan asas sekiranya kejadian sama berulang lagi pada masa depan.
"Kita dah boleh siap-siap beli barang untuk prepping (siap siaga). Biskut Tiger, Nescafe 3 dalam 1, mi segera dan sardin.
"Beli dapur mudah alih, kit kecemasan, lampu kepala, beg tidur dan peranti pengecas. Letak semua dalam satu beg. Jadi apa-apa ambil beg dan dokumen penting terus chow atau lepak atas bumbung," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram