Bersihkah botol susu anak anda?


  • Sihat
  • Jumaat, 24 Dis 2021

PENJAGAAN botol susu yang tidak rapi boleh mengundang mudarat kepada kesihatan anak-anak. — Agensi

KESIHATAN anak-anak adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa, yang mana proses tumbesaran mereka disokong oleh susu ibu dan susu formula.

Selalunya, anak-anak diberi susu bermula sejak awal kelahiran sehingga umur 6 tahun.

Namun, pakar kesihatan dan perubatan, Dr Tajul Ariffin Norsadan berkata, masih ramai ibu bapa yang tidak mahir tentang cara menjaga kebersihan botol susu anak dengan betul.

Dr Tajul berkata, penjagaan botol susu yang tidak rapi boleh mengundang mudarat kepada kesihatan anak-anak.

Menerusi laman Facebook, beliau berkongsi ilmu mengenai cara penjagaan botol susu bermula daripada cara cuciannya.

Beliau berkata, botol perlu segera dibasuh dengan sabun setiap kali habis penyusuan anak.

Selepas itu, katanya, air perlu dididihkan dan api dimatikan sebelum botol direndamkan selama lima hingga 10 minit.

“Gunakan penyepit untuk membawa botol keluar dari air panas dan letakkannya dalam keadaan terlangkup di atas permukaan yang bersih.

“Boleh digunakan setelah kering. Jangan sentuh bahagian dalam botol,” katanya.

best-baby-dish-soap-for-baby-bottles-pacifiers-toys-scaled

BOTOL susu perlu segera dibasuh dengan sabun setiap kali habis penyusuan anak. — Agensi

Pada masa sama, Dr Tajuk menyarankan setiap ibu bapa supaya menyediakan sebanyak enam hingga lapan botol susu bagi setiap anak.

Beliau berkata, mereka perlu menggunakan botol susu berbeza bagi setiap penyusuan, selain melakukan rendaman air didih sebanyak sehari sekali bagi setiap botol.

Selain itu, katanya, ibu bapa perlu menggantikan semua botol yang digunakan pada setiap tiga hingga enam bulan atau apabila berlaku perubahan pada bentuk dan warna botol.

“Menggantikan puting botol susu setiap bulan atau apabila berlaku perubahan pada bentuk dan warna puting berkenaan,” katanya.

Disamping itu, beliau menyarankan ibu bapa supaya mengelakkan daripada menggunakan air mendidih ketika membancuh susu.

Beliau berkata, bancuhan susu terus ke air mendidih akan menyebabkan zat susu musnah.

Tambahnya, ibu bapa perlu menggunakan sukatan susu yang disyorkan mengikut saranan pengeluar supaya anak mereka mendapat zat-zat yang diperlukan secukupnya.

“Setelah umur mencapai enam bulan, digalakkan beri makan makanan dahulu, dan susu hanya sebagai makanan tambahan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram