ADALAH amat penting untuk rakyat Malaysia lebih berjaga-jaga dan mementingkan penjagaan kesihatan dari sebelumnya dalam mengamalkan gaya hidup sihat menerusi diet seimbang termasuk pengambilan protein dan senaman di dalam fasa peralihan pandemik Covid-19.
Pensyarah Kanan dan Timbalan Pengarah Kajian dan Penyelidikan Pusat Sains Sukan dan Senaman Universiti Malaya, Dr Sareena Hanim Hamzah berkata, ini adalah penting kerana dunia kini terus diancam dengan kemunculan varian baharu virus.
"Sambil mengamalkan satu gaya hidup yang seimbang, kita sepatutnya sentiasa memerhati kebiasaan diet kita bagi menyediakan tenaga dan nutrient mencukupi untuk tubuh dan elakkan daripada makan berlebihan.
Untuk kekal aktif, dinasihatkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 ke 300 minit aktiviti fizikal aerobik dengan intensiti sederhana sepanjang minggu untuk manfaat kesihatan yang ketara kerana ia juga akan membantu meningkatkan endorfin dan meredakan tekanan,” katanya dalam satu webinar bertemakan "Start Your Day Right With A Nutritious Drink” anjuran Amway Malaysia.
Beliau berkata, pelan diet yang sihat dan seimbang seharusnya mengandungi protein dalam makanan seharian selain karbohidrat dan lain-lain nutrient dan protein kocak yang berfungsi sebagai pelengkap kepada elemen diet lain kerana senaman tetap bersama kebiasaan pemakanan yang sihat boleh menjurus kepada gaya hidup seimbang.
Senada dengan beliau, seorang lagi ahli panel webinar itu, pakar diet Indra Balaratnam berkata, diet yang sihat adalah bersangkut-paut dalam menyokong sistem imun manusia dengan diet yang sihat kaya dengan nutrient mampu mengurangkan kebarangkalian mengakibatkan isu kesihatan lain seperti obesiti, sakit jantung atau diabetis dan protein adalah salah satu daripada nutrient yang penting untuk keseluruhan kesihatan manusia.
"Protein adalah nutrient makro kepada tubuh kita dan dipecahkan kepada asid amino. Ia penting untuk tumbesaran, penyelenggaraan tisu badan, kawalan metabolisme yang membantu mengekalkan berat badan yang sihat, mengawal kelaparan dan mempercepatkan pemulihan otot. Anda boleh mendapatkan kebaikan protein asli daripada daging, ikan, telur, tauhu, kekacang dan produk tenusu.
"Protein adalah satu nutrien yang memainkan peranan untuk meningkatkan ‘neurotransmitters’ yang berhubung dengan otak kita yang membuat kita terjaga dan berwaspada termasuk pilihan yang kaya protein sebagai sebahagian daripada sarapan pagi kita yang sihat dan seimbang serta mampu membantu kita rasa bertenaga dan cukup khasiat,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram