Pakar kongsi tips jaga tulang belakang bagi wanita hamil


  • Sihat
  • Jumaat, 03 Dis 2021

50 hingga 80 peratus ibu mengandung mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil.
WANITA hamil mengalami sakit belakang kerana tubuh mereka akan berubah bagi menampung tumbesaran bayi kandungan mereka dan kajian menunjukkan sekitar 50 hingga 80 peratus ibu mengandung mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, Adding Life To Years (ALTY) Orthopaedic Hospital, Dr. Lim Sze Wei, antara punca-punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil adalah kenaikan berat badan, perubahan postur, perubahan hormon, serta stres.

"Berat badan wanita yang hamil lazimnya akan bertambah sekitar 11 hingga 16 kilogram, sekaligus menambah beban pada tulang belakang mereka. Kehamilan juga akan mengubah pusat graviti seorang wanita kerana mereka akan menyesuaikan postur dan pergerakan untuk menampung perut mereka yang semakin membesar,

"Tambahan lagi, tubuh wanita menghasilkan hormon relaksin ketika hamil yang membolehkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi mereka menjadi lebih longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran

"Ia membolehkan ligamen tersebut menyokong tulang belakang yang mengendur, lalu menjurus kepada ketidakstabilan dan kesakitan. Tekanan emosi juga boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan," jelas pakar itu.

Namun, wanita hamil masih boleh melindungi tubuh mereka daripada komplikasi sakit pinggang ketika mengandung dengan mengetahui fakta penjagaan tulang belakang sebelum, semasa, dan selepas kehamilan dari pakar ini.

1) Mempersiapkan Tubuh Anda Sebelum Hamil
  • Wanita boleh mencegah atau mengurangkan sakit belakang sebelum mereka hamil dengan menguatkan tubuh mereka – terutamanya anggota kaki, abdomen, dan bahagian belakang badan – menerusi senaman yang dilakukan secara bersederhana.
  • Sebelum hamil, para wanita seharusnya mengambil langkah penjagaan prakehamilan yang meliputi konsultasi dengan doktor untuk merangka pelan, selain berbincang mengenai pelbagai jenis teknik senaman untuk mempersiapkan tubuh mereka bagi menampung beban kehamilan.
  • Sesetengah senaman seperti berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20-30 minit sehari dapat membina kekuatan kaki, begitu juga dengan pelbagai senaman ringkas yang dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang apabila proses kehamilan mula menginjak peringkat demi peringkat.
berjalan
SENAMAN seperti berjalan dapat membina kekuatan kaki untuk wanita hamil
2) Mengurus Sakit Belakang Ketika Hamil
  • Wanita patut memantau kenaikan berat badan, mengamalkan diet yang sihat, serta bekerjasama dengan pakar obstetrik-ginekologi (OB) untuk memelihara berat badan yang disyorkan untuk mengecapi proses kehamilan yang sihat.
  • Penjagaan postur yang disokong dengan kaedah yang ergonomik ketika duduk atau berdiri juga akan membantu meringankan beban pada pinggang dan postur tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan yang diletakkan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan juga disarankan ketika mengandung.
  • Elakkan penggunaan kasut tumit tinggi dan selipar, gunakan kasut tumit rendah dengan sokongan arkus untuk membantu tulang belakang mengekalkan lengkungannya yang betul.
  • Senaman juga merupakan langkah pencegahan yang penting untuk masalah sakit belakang tapi hadkan aktiviti berintensiti tinggi. Aktiviti seperti berjalan, berenang atau yoga merupakan senaman yang efektif untuk membina kekuatan pelvis, pinggul, dan pinggang ketika hamil namun dapatkan terlebih dahulu nasihat doktor sebelum mulakan senaman.
  • Urutan pranatal, meletakkan pad panas pada pinggang, dan melebihkan rehat juga merupakan kaedah yang ideal untuk mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang.
preggy
SENTIASA mengamalkan diet yang sihat untuk mengecapi proses kehamilan yang sihat


3) Penjagaan Pascakehamilan
  • Mulakan rutin senaman seawal yang mungkin setelah melahirkan anak untuk mengembalikan tona otot abdomen dan belakang. Jika boleh, cuba kecapi semula berat badan normal anda dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak.
  • Elakkan memusing badan anda terlalu kerap. Hampirkan bayi anda ke dada sebelum mengangkat, jangan unjurkan tangan untuk mengangkat bayi. Untuk mengangkat bayi dari lantai, bengkokkan lutut (bukannya pinggang), cangkung, tegangkan otot perut anda, dan angkat menggunakan otot kaki.
  • Sakit belakang yang berlaku di bahagian atas boleh diakibatkan oleh aktiviti penyusuan, ia dapat ditangani dengan merapatkan bayi ke dada dan bukannya membongkok ke arah bayi. Gunakan kerusi menegak dan bukannya sofa lembut agar tulang belakang anda dapat diberikan sokongan yang lebih baik.
babytyyyyyyyy
GUNA kerusi menegak, elak sofa lembut untuk pascakehamilan


Sze Wei menasihati jika para ibu gagal merawat simptom sakit belakang ia boleh menjurus kepada kesakitan kronik, selain menjejaskan kualiti hidup mereka dan wanita digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi menangani simptom dan masalah yang dialami.

"Sekiranya sakit belakang anda tidak surut, rujuk doktor anda untuk mengetahui sama ada ujian atau rawatan tambahan patut dilakukan," jelas pakar itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram