KKM pantau tiga penyakit serius bawaan air


  • Primer
  • Khamis, 23 Dis 2021

KHAIRY berkata, setakat ini belum ada kes serius melibatkan penyakit bawaan air termasuk taun, kepialu dan kencing tikus dilaporkan. — The Star

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersiap siaga untuk menerima dan menangani kes melibatkan penyakit bawaan air di semua fasiliti, termasuk pusat operasi sementara susulan situasi banjir di beberapa negeri.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, ia juga berikutan jangkaan peningkatan penyakit bawaan air termasuk yang berjangkit antaranya taun, demam kepialu dan kencing tikus.

"Setakat ini belum ada kes serius (melibatkan bawaan air) yang dilaporkan.

"Yang paling serius melibatkan kawasan banjir adalah di Taman Sri Muda, Shah Alam membabitkan kanak-kanak dua tahun mengalami ‘acute gastroenteritis’ dengan dehidrasi dan telah diberi rawatan awal dan dirujuk ke HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah), Klang," katanya pada sidang media di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Beliau berkata, KKM juga telah menggerakkan pasukan perubatan yang beroperasi secara statik di kebanyakan pusat pemindahan sementara (PPS) selain menubuhkan pusat operasi di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam bagi memudahkan dan menyegerakan saringan kesihatan.

"Kita menasihati orang ramai terutama di kawasan banjir untuk segera mendapatkan rawatan di kemudahan KKM secepat mungkin sekiranya ada gejala atau rasa tidak sihat," katanya.

Negeri yang terjejas banjir dan melibatkan penempatan mangsa banjir di pusat PPS ialah Pahang, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor serta Kuala Lumpur.

Mengenai perkembangan Covid-19 dalam negara, Khairy berkata, sebanyak 13 kes Omicron telah dikesan di Malaysia setakat ini dengan 61 kes lagi disyaki berkemungkinan dijangkiti varian tersebut yang kini dalam pemerhatian.

"Semua kes adalah kes import yang dikesan di pintu masuk antarabangsa dan setakat ini belum ada kes penularan tempatan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram