Usahawan Pasir Puteh 'masyuk' jual belalang goreng di musim tengkujuh


  • Bizz
  • Khamis, 23 Dis 2021

ROSLINA berkata idea mengusahakan perniagaan belalang goreng ini secara serius tercetus pada Jun lalu.

BELALANG goreng adalah makanan tradisi dalam kalangan petani sejak zaman-berzaman di Kelantan, namun disebabkan serangga itu sukar diperoleh, ia kini menjadi rebutan penggemarnya termasuk pada musim tengkujuh.

Perniagaan berdasarkan nostalgia lama memberi cetusan idea kepada usahawan muda, Roslina Mohd Othman, 41, memenuhi kehendak pelanggan dengan memastikan bekalan belalang hidup ini sentiasa mencukupi.

Roslina berkata musim tengkujuh bukanlah penghalang baginya untuk memasak belalang goreng kerana beliau dapat membantu beberapa penduduk di Kampung Bukit Telipot, Gaal yang tidak dapat melakukan kerja harian seperti menoreh getah kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

"Seramai 10 penduduk di sekitar ini mengambil upah mencari belalang dan menyiang, manakala bagi proses pembungkusan serta pemasaran dalam talian saya serahkan kepada anak-anak.

"Namun, pada musim tengkujuh ini walaupun menghadapi sedikit kesukaran untuk dapatkan stok belalang hidup tetapi saya usaha juga mencarinya sekurang-kurangnya dua kilogram sehari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Telipot, Gaal, Pasir Puteh.

Roslina berkata idea mengusahakan perniagaan belalang goreng ini secara serius tercetus pada Jun lalu apabila kedai makan mi celup dan masakan panas yang telah beroperasi sejak 16 tahun lalu terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan penularan wabak Covid-19.

"Sebelum ini, saya memang ada jual belalang goreng ini tapi bukan selalu dan hanya dilakukan apabila ada permintaan sahaja.

"Saya tidak menyangka apabila mempromosikan belalang goreng ini secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook, ramai pula pelanggan yang menginginkannya," katanya yang ketika ini mempunyai 40 ejen dari seluruh negeri.

Roslina berkata apabila pembekal selesai mencari belalang hidup di sawah sekitar 1 hingga 4 pagi, belalang hidup ini perlu dimatikan terlebih dahulu dengan cara mencelur belalang dalam air panas.

"Proses menyiang belalang agak rumit dan perlu teliti kerana biasanya hadir dengan sampah dari jerami padi dan perlu diasingkan dengan membuang sayap, kaki serta najis dalam tubuh haiwan ini yang mengambil masa dua jam.

"Selepas itu, kita boleh menggorengnya dengan meletakkan bahan-bahan yang sesuai mengikut jenis perisa yang disediakan," katanya yang menjual tiga jenis perisa iaitu belalang goreng kunyit, belalang kerutuk dan belalang keju yang diwarisi cara menggoreng belalang ini daripada ibunya, Hamidah Jusoh, 71.

Ibu kepada empat anak itu berkata setiap penyediaan masakan ini bergantung kepada jenis perisa belalang sebagai contoh untuk belalang goreng biasa, ia diperap dengan rempah kunyit, halia dan bawang putih selama dua jam berbanding belalang kerutuk yang mengambil masa selama empat jam.

"Belalang goreng ini djual dengan harga berbeza mengikut perisa iaitu RM10 bagi goreng kunyit dengan berat 75 gram (g), RM12 bagi belalang kerutuk seberat 100g dan RM13 bagi perisa keju seberat 70g," katanya yang pernah mencapai keuntungan jualan mencecah sehingga RM10,000 sebulan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram