MEMUPUK semangat berkomuniti dan membuka ruang buat golongan belia terutama di Sungai Buloh, Selangor, melibatkan diri dalam usaha kebajikan menjadi keutamaan buat anak muda, Zaid Zarin, 26.
Dia yang juga merupakan pengasas dan pengerusi Kelab Khemah Putih (KKP) membawa misi untuk menyediakan platform buat golongan muda melakukan aktiviti berfaedah.
Menurut Zaid, salah satu fokus KKP adalah untuk mengajak golongan belia melakukan aktiviti sukarelawan dan kebajikan sama ada dalam komuniti atau diluar.
"KKP adalah platform untuk belia berbakti kepada masyarakat dan melalui kelab mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti kebajikan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk organisasi mahupun persendirian.
"Kita mahu belia melibatkan diri dengan aktiviti berfaedah dan itu merupakan matlamat penubuhan KKP sejak tahun lalu," katanya kepada Majoriti.
Tambah Zaid lagi, dia terpanggil untuk menubuhkan KKP kerana dia berasa perlu ada satu platform untuk menarik anak muda terutama dalam komunitinya daripada melakukan aktiviti yang tidak bermoral.
Katanya lagi, aktiviti yang dianjurkan pihak kelab juga banyak merapatkan jurang golongan belia dan golongan yang lebih tua.
"Kami turut berpeluang untuk berkolaborasi dengan kelab kebajikan yang lebih berpengalaman.
“Kelab ini juga merupakan penyambung legasi kepada komuniti saya yang membudayakan amalan bantu membantu," ujarnya.
Jelasnya lagi, jika bukan anak muda yang meneruskan legasi itu ia semestinya akan terkubur begitu sahaja.
"Oleh yang demikian menerusi kelab Khemah Putih, saya mengumpulkan golongan belia untuk meneruskan budaya ini.
"Kita juga meletakkan misi untuk membantu sebanyak mana orang yang memerlukan tidak mengira usia, agama dan bangsa.," kongsi anak jati Sungai Buloh itu.
Sementara itu, bercerita tentang aktiviti yang pernah disertai KKP, Zaid memberitahu, pihaknya banyak berhubung dengan kelab kebajikan lain untuk melaksanakan kolaborasi dalam usaha kebajikan.
KKP turut mengadakan beberapa program pengumpulan dana untuk mereka yang terkesan ekoran musibah dan Covid-19.
Katanya, ia sebagai langkah bagi pihaknya untuk sama-sama membantu dan berkongsi ilmu dalam gerakan-gerakan kebajikan.
"Kita berjaya mengumpulkan ahli sebanyak 120 orang dan telah melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti kebajikan terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dan musim banjir yang melanda negara.
"KKP turut mengadakan beberapa program pengumpulan dana untuk mereka yang terkesan ekoran musibah dan Covid-19 selain melakukan kerja sukarela secara berkumpulan untuk membersihkan kawasan masjid," jelasnya.
Zaid turut menambah, KKP turut mengedarkan pakaian sekolah kepada anak yatim dan golongan asnaf dan membantu mangsa banjir yang terkesan di Johor dan Pahang.
Dalam pada itu, untuk perancangan masa depan KKP, Zaid memberitahu bahawa pihaknya mahu membuka platform arah tuju kerjaya buat golongan belia yang kurang berkemampuan.
Hurainya lagi, dia merancang untuk menyediakan platform perniagaan buat golongan belia dengan menyediakan lokasi tau tapak beniaga dan menyediakan modal buat mereka.
"Kami juga mahu meluasakan lagi jaringan kelab dengan melibatkan komuniti selain di Sungai Buloh dan mengajak lebih ramai belia untuk melakukan aktiviti kebajikan.
"Untuk mengetahui lebih lanjut tentang KKP orang ramai boleh boleh melayari laman sosial Instagram, @kelabkhemahputih," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram