Saiz megapiksel bukan pengukur kualiti kamera telefon


  • Hobi
  • Jumaat, 17 Dis 2021

RAMAI percaya cara mudah untuk mengukur kualiti telefon pintar adalah dengan mengira bilangan megapiksel (MP). — Gambar Hiasan/ The Star

KUALITI kamera merupakan salah satu ciri yang sering digembar-gemburkan untuk telefon pintar.

Teknik pemasaran mempengaruhi ramai orang untuk percaya cara paling mudah untuk mengukur kualiti telefon pintar adalah dengan mengira bilangan megapiksel (MP) yang dimilikinya.

Malah trend ini telah berterusan selama bertahun-tahun.

Telefon pintar generasi pertama mempunyai kamera 2MP. Kini, telefon pintar mewah mempunyai kamera setinggi 108MP.

Walau bagaimanapun, bilangan megapiksel yang besar sahaja mungkin bukan ukuran sebenar kualiti kamera telefon pintar.

Pertama, megapiksel hanya merujuk kepada satu juta piksel.

Piksel ialah reseptor kecil pada sensor imej, cip komputer dalam kamera digital yang menangkap cahaya dan diterjemahkan ke dalam imej digital.

Secara teorinya, lebih banyak piksel sepatutnya membolehkan sensor imej ini menangkap lebih banyak butiran dan mencipta imej yang lebih tajam.

Tetapi dari segi praktikal, saiz sensor imej lebih penting kerana ia membolehkan sistem menangkap lebih banyak cahaya yang pada asasnya adalah data mentah dari dunia nyata.

Sensor imej besar akan menangkap lebih banyak data dan megapiksel yang banyak akan membantu untuk merekodkan data tersebut dengan tepat.

Namun, sensor imej kecil hanya mampu menangkap data yang sedikit walaupun dengan jumlah megapiksel yang sama.

Satu masalah yang akan berlaku adalah apabila begitu banyak piksel pada ruang lebih kecil, ia boleh menghasilkan bunyi elektronik.

Bunyi elektronik ini akan mengganggu maklumat yang dirakam dan menyebabkan "artifak" iaitu butiran kelabu atau perubahan warna.

Jadi, sejauh manakah perbezaan antara sensor imej pada telefon pintar dengan kamera DSLR bingkai penuh?

Telefon pintar terkini mempunyai sensor antara 1/1.25 inci hingga 1/1.7 inci, manakala DSLR bingkai penuh menggunakan sensor 35 milimeter (mm) standard.

Dalam mm kuasa dua, sensor bagi kamera telefon pintar adalah antara 25mm² hingga 43mm² manakala sensor bagi DSLR bingkai penuh adalah 864mm², kira-kira 20 hingga 30 kali ganda lebih besar.

Namun kamera profesional masih mempunyai kira-kira 20-40MP sahaja.

Sesetengah jenama seperti Sony malah mempunyai model dengan megapiksel yang sedikit untuk mengurangkan gangguan artifak dan bunyi.

Ada kelebihan jika mempunyai megapiksel yang banyak kerana anda boleh memaparkan imej pada saiz lebih besar hasil perincian halus yang ditangkap.

Ini bermakna anda boleh zum atau memotong imej secara digital sambil berpotensi mengekalkan kualiti imej yang tinggi.

Laman komuniti fotografi, Fstoppers, melakukan ujian antara kamera dengan 12MP dan 24MP dan mendapati kamera dengan megapiksel rendah menghasilkan foto yang kurang terperinci.

Sesetengah orang mungkin mahu menunjukkan foto dan video mereka di TV. Dalam hal itu, kos tambahan untuk peranti dengan megapiksel yang lebih tinggi dan sensor imej yang lebih besar mungkin berbaloi untuk mereka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram