Janji temu dos penggalak melalui SMS dan MySejahtera


  • Primer
  • Rabu, 15 Dis 2021

NOOR Hisham memaklumkan 3,944,858 dos penggalak diberikan di seluruh negara setakat ini. — Bernama

JANJI temu bagi penerima dos penggalak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon pintar ataupun melalui aplikasi MySejahtera bagi mempercepatkan lagi pemberian dos tersebut.

Menurut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya, mengingatkan masyarakat agar sentiasa cakna dengan pemakluman di telefon masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju menerima dos penggalak atau tidak.

"Sekiranya terlepas tarikh janji temu yang diberikan, adalah disarankan agar menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu," ujarnya.

Tambah Noor Hisham, sehingga Selasa, sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan sejak pemberiannya diluluskan pada November lepas.

Jelas beliau, ia dimulakan dengan kelompok tertentu iaitu individu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi; penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan individu dengan keperluan ke luar negara.

Jumlah kes baharu Covid-19 pada Rabu kembali menurun di bawah paras 4,000 iaitu 3,900 kes, berbanding 4,097 kes pada Selasa.

Sebanyak 4,552 kes sembuh baharu direkodkan pada Rabu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,615,162.

Daripada 3,900 kes yang dilaporkan pada Rabu, sebanyak 86 kes (2.2 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 3,814 kes (97.8 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram