SEORANG perompak gagal dalam cubaannya untuk merompak sebuah kedai pajak gadai di Jagakarta, Jakarta Selatan pada Isnin selepas pihak polis dan orang ramai mengepung premis tersebut.
Perompak berkenaan dipercayai memerhati kedai terbabit sejak pagi dan berniat mahu melakukan rompakan sejurus premis itu ditutup.
"Kronologi kejadian sekitar pukul 8 malam waktu Indonesia Barat (WIB). Perompak sudah di berada di lokasi sejak pukul 11 pagi untuk 'memantau' kedai tersebut," kata Ketua Rukun Tetangga (RT) setempat, Nurhadi pada Selasa.
Perompak itu dipercayai seorang lelaki, masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan pistol ke arah pekerja premis terbabit.
Rompakan itu bagaimanapun disedari oleh para penduduk.
Secara kebetulan, polis melalui lokasi tersebut dan segera mengepung perompak bersama para penduduk.
"Disebabkan laluan keluar masuk kedai hanya ada satu iaitu di bahagian hadapan premis, dia tidak boleh lari ke mana-mana," ujar Nurhadi lagi.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, Ridwan Soplanit berkata, perompak mengarahkan pekerja premis itu untuk mengeluarkan wang di dalam peti besi juruwang.
“Perompak arah mangsa buka peti besi, kemudian arah serahkan wang mereka,” jelas Ridwan ketika dihubungi pada Isnin.
Selain itu, perompak tersebut juga mengunci tiga pekerja di dalam bilik air.
Pelayan (server) kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) kedai pagak gadai itu turut dirosakkan oleh perompak berkenaan. Tindakan itu disyaki bagi menghilangkan bukti rompakan.
“Dia merosakkan pelayan CCTV, kemudian dia ditangkap oleh anggota polis ketika itu,” tambah Ridwan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram