POLIS mengesahkan telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kerana mengugut dan merosakkan kenderaan milik isterinya dalam kejadian di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, laporan telah dibuat mangsa kira-kira pukul 10.37 pagi di Balai Polis Alor Setar, Kedah.
"Mangsa yang berusia 24 tahun berkata yang dia sedar pergerakannya diekori suami yang menunggang motosikal jenis Honda Wave di Lorong Panglima Jalan Teluk Wanjah.
"Suspek kemudian menahan kenderaan mangsa dan mengetuk cermin kereta hadapan sebelah penumpang beberapa kali.
"Suspek menyuruh mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberikan wang kepada anak mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, video perbuatan suspek sewaktu kejadian yang dipercayai dirakam isterinya juga tular di media sosial pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuka sedikit tingkap namun secara tiba-tiba suspek bertindak merentap cermin kereta Perodua Axia berkenaan.
Ekoran tindakan itu, serpihan kaca telah terkena anak-anak mangsa sehingga menyebabkan mereka terkejut.
"Siasatan lanjut yang dijalankan anggota bertugas mendapati kejadian terbabit berlaku di tepi jalan berhampiran rumah mangsa.
"Lokasi kejadian tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun kejadian berjaya dirakamkan oleh mangsa dengan telefon bimbit miliknya," katanya.
Ahmad Shukri berkata, suspek ditahan pada hari yang sama sejurus selepas kejadian dan ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif.
"Suspek ditahan reman bermula 14 sehingga 17 Disember ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 kanun keseksaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram