RAKAMAN seorang lelaki warga emas mencuri telefon bimbit di sebuah pasar raya dipercayai dalam satu kejadian di Aulong, Taiping, Perak tular di laman sosial.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu, lelaki terbabit dilihat mencuri sebuah telefon pintar yang ditinggalkan di atas meja tanpa pengawasan pekerja kedai.
Lelaki tersebut yang memakai pelitup muka dilihat meninjau keadaan sekeliling bagi memastikan tiada orang berada berhampiran sebelum 'merembat' telefon bimbit berkenaan, dipercayai milik salah seorang kakitangan premis itu.
Dia kemudian cepat-cepat menyorokkan telefon itu dengan menyelitkannya di celah pinggang seluar.
Melalui rakaman singkat berdurasi enam saat itu, netizen menyifatkan tindakannya seperti orang tua tidak sedar kerana masih mahu melakukan perbuatan jenayah.
Berdasarkan info awal yang dikongsikan di laman Facebook Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia, suspek dipercayai dalam lingkungan 45 hingga 60 tahun.
Video tersebut tular sejak malam Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram