SARAPAN merupakan antara elemen penting untuk badan sebelum memulakan pelbagai aktiviti baik untuk kanak-kanak mahupun dewasa.
Untuk orang dewasa pastinya tiada masalah, tetapi untuk kanak-kanak, agak sukar untuk menerangkan kepada mereka sebab sarapan itu sesuatu yang penting.
Malah, ada ibu bapa yang putus asa daripada memberikan anak-anak mereka sarapan pagi dan membiarkan sahaja mereka makan pada waktu tengah hari.
Menerusi artikel yang disunting oleh pakar perubatan, sarapan pagi untuk anak-anak sekolah penting bagi menjadikan mereka lebih sihat secara keseluruhan dan aktif secara fizikal dan cara terbaik untuk membantu mengekalkan berat badan sihat.
Ini kerana ia dapat menggerakkan metabolisme tubuh – proses badan menukar bahan api dalam makanan kepada tenaga.
Apabila metabolisme mula bergerak, tubuh akan mula membakar kalori. Beberapa kajian mencadangkan bahawa tubuh membakar kalori lebih baik pada waktu pagi berbanding lewat malam.
Kanak-kanak akan lebih cepat lapar jika tidak bersarapan dan akhirnya akan mengambil snek ringan untuk tempoh yang panjang sekaligus memberi kesan kepada pola pemakanan mereka.
Malah, mengikut anggaran, sebanyak 40% kanak-kanak tidak bersarapan pagi.
Berikut adalah cara-cara yang sesuai untuk menarik minat anak-anak supaya mengambil sarapan.
1. Jadi kreatif
Potong roti bakar dalam bentuk yang menarik dan dalam masa sama disertakan dengan karbohidrat, protein dan lemak seperti lobak merah atak kentang lenyek.
2. Sarapan ringan
Gantikan makanan berat dengan snek sihat seperti buah pisang, epal susu atau yogurt yang boleh diambil berkali-kali.
3. Beri tugasan
Jika di hari cuti, ajak anak-anak untuk sediakan makanan sarapan sekali dengan memberikan mereka tugas ringan seperti menghias makanan dan sebagainya.
4. Biarkan anak memilih
Sebelum tidur, biar anak-anak buat pilihan sarapan apa yang mereka inginkan keesokan harinya.
5. Sarapan bersama
Ini penting, ibu bapa mesti bersarapan kerana anak-anak sentiasa melihat tingkah laku penjaga mereka.
Lebih baik jika ibu bapa meluangkan masa untuk bersarapan dengan anak-anak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram