PILIHAN Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) menyaksikan sejumlah 89 peratus pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak, jumlah itu melibatkan 18,141 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.
Katanya, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada Selasa.
"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan dan media.
"Tidak dilupakan juga semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Pengundian awal dilaksanakan di 85 pusat mengundi dengan 111 saluran yang disediakan.
Ia berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang pada Selasa.
SPR menetapkan pengundian PRN12 pada Sabtu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram