MUNGKIN bagi orang lain yang masuk ke universiti, bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda adalah sesuatu yang biasa-biasa saja.
Namun, tidak bagi Nur Afifa Mohamad Danil, 26, yang baru-baru ini berjaya menamatkan pelajarannya dan bergelar graduan Ijazah Sarjaya Muda Sains Sukan (Psikologi Sukan) di Fakulti Sains Sukan Dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran sejak berusia 11 tahun, Nur Afifa membuktikan kekurangan dirinya bukan penghalang untuk dia terus mencapai impiannya.
Menurut Nur Afifa, dia hanya boleh mendengar sebelah telinga dan perlu menggunakan alat pendengaran ketika berada di dalam kelas.

NUR AFIFA Mohamad Danil graduan Ijazah Sarjaya Muda Sains Sukan (Psikologi Sukan) di Fakulti Sains Sukan Dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
"Bila ada masalah sebegini, memang agak sukar sebab strategi saya dengan pelajar yang lain berbeza. Saya perlu duduk di barisan hadapan pada setiap kelas untuk mendengar dengan jelas.
"Tetapi, disebabkan kelas yang besar, ada kalanya pensyarah akan ke belakang ketika mengajar dan itu yang membuatkan saya kadang-kadang tak faham kerana tidak dapat mendengar apa yang diajar.
"Jadi usaha saya kena gigih sikitlah sama ada bertanya dengan rakan-rakan atau terus berjumpa dengan pensyarah mengenai perkara yang saya tidak dengar atau faham.
"Lagipun sebenarnya pakai alat pendengaran ini tidaklah membantu sepenuhnya. Saya sendiri pun kadang-kadang lebih selesa untuk tidak menggunakan alat itu.
"Sebab itu saya kena atur cara yang terbaik supaya tidak tertinggal dalam pelajaran akibat kekurangan saya ini," katanya kepada Majoriti.
Bercerita mengenai kekurangan dirinya, anak sulung daripada empat beradik ini memberitahu yang dia pada mulanya dilahirkan secara normal.

NUR AFIFA bersama rakan-rakannya ketika menghadiri majlis konvokesyen UPSI di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Namun, ketika berusia 11 tahun, dia mengalami kepanasan badan melampau akibat demam campak dan denggi hingga mengakibatkan gangguan saraf di bahagian telinga.
"Selepas itu, saya telah mendapatkan rawatan dan disahkan pekak di bahagian kanan. Sejak itu, ada rakan-rakan yang mentertawakan saya hingga ada kalanya mengganggu emosi diri.
"Tetapi lama kelamaan kita sudah terbiasa dan tidak mahu perkara itu mengganggu kehidupan saya. Begitu juga ketika berada di UPSI.
"Saya sudah menjangkakan pasti ada yang akan mengusik kekurangan saya ini tetapi saya anggap itu sebagai sesuatu yang normal dan memujuk hati supaya tidak muda terasa dengan mereka," katanya.
Sebagai seorang mahasiswa, Nur Afifa bergiat aktif dalam pelbagai program dan aktiviti anjuran universiti serta menjawat pelbagai jawatan persatuan pelajar antaranya Setiausaha Kelab Istimewa UPSI serta tiga jawatan iaitu Naib Presiden Psikologi, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan dan Exco Latihan Pembangunan Sahsiah dalam Persatuan Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI.
Bercita-cita mahu mengikut jejak ibunya, Rohana Abdul Khalap yang merupakan seorang guru, Nur Afifa kini sedang meneruskan pengajian dengan mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Malaysia Sabah.
"Saya harap selepas ini akan bergelar seorang guru dan tidak kisah sama ada diberi peluang untuk mengajar di sekolah normal atau pun sekolah khas yang melibatkan pendengaran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
