Golongan antivaksin culik pengetua kerana diarah pakai pelitup muka


  • Benua
  • Sabtu, 11 Dis 2021

TIGA daripada 11 orang yang ditahan mempunyai anak yang bersekolah di sekolah berkenaan. — Gambar hiasan/Agensi
SEKUMPULAN antivaksin di Greece yang dikenali sebagai Guardians of the Constitution berdepan tuduhan menculik selepas menyerang seorang pengetua sekolah yang melaksanakan peraturan berkaitan Covid-19.

Pada awal hari Jumaat, 11 anggota kumpulan itu menyerbu ke gimnasium Aiginio, di Pieria, Greece, menangkap pengetua sekolah, menggarinya dan mengheretnya ke balai polis tempatan dengan mendakwa mereka telah "menangkap" dia kerana menguatkuasakan langkah-langkah terhadap Covid-19.

Namun, ketika tiba di sana, kumpulan yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita itu pula ditahan polis.

Mereka berdepan dakwaan lain termasuk menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam, mengganggu perkhidmatan awam dan melanggar peraturan bagi mencegah penyakit berjangkit.

Pengetua itu kemudiannya menerima rawatan di klinik kesihatan kerana melecet pada pergelangan tangannya.

Menurut portal Ekthimerini, tiga daripada 11 orang yang ditahan mempunyai anak yang bersekolah di sekolah berkenaan.

Mereka yang ditangkap berumur dalam lingkungan 42 hingga lebih 70 tahun dan mereka datang dari pelbagai kawasan seperti Grevena, Imathia dan Athens.

Pegawai mengesyaki bahawa sebahagian daripada mereka pergi secara khusus ke Aeginio untuk melakukan penahanan terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

antivaksin, penculikan, Greece, Covid-19