PENGURUSAN artis di bawah syarikat rakaman masih penting terutamanya dalam melahirkan generasi baharu kumpulan atau penyanyi nasyid tempatan.
Perkara itu disuarakan oleh kumpulan nasyid Hijjaz yang berpendapat khidmat syarikat rakaman masih lagi diperlukan memandangkan ramai bakat muda yang berpotensi untuk pergi jauh.
Menurut salah seorang ahlinya, Isman Nadim Isam, tanpa ilmu pemasaran dan hanya bergantung kepada media sosial, kebanyakan penyanyi muda hanya popular untuk tempoh yang singkat (one hit wonder).
"Mereka ini boleh menyanyi tetapi tidak kemana-mana, sekadar merakam nyanyian dan muat naik di media sosial.
"Kita masih perlukan syarikat rakaman kerana mereka mempunyai formula untuk mengetengahkan seseroang artis dan perancangan yang perlu untuk membawa mereka lebih jauh," katanya kepada Majoriti.
Isman Nadim berkata demikian ketika ditemui Majoriti semasa majlis Majlis Santuni Rumah Pelindungan, Pemulihan dan Kebajikan Di Bawah Portfolio Pembangunan Sosial Negeri Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, mengambil contoh kumpulan nasyid yang dilahirkan di bawah syarikat rakaman Hijjaz Record sebelum ini, meskipun kini mereka sudah bergerak sendiri asas populariti mereka bermula dengan pengurusan pihak syarikat rakaman.
Hijjaz Records melahirkan generasi baru nasyid antaranya In-Team dan Mestica.
Sementara itu, berhubung perkembangan terkini kumpulan Hijjaz, Isman Nadim menjelaskan buat masa ini mereka masih belum ada perancangan untuk mengeluarkan single terbaharu.
Bagaimanapun, sejak kelonggaran sekatan Covid-19, mereka kini kembali aktif memenuhi undangan persembahan untuk majlis di seluruh Malaysia.
"Setakat ini kita fokus kepada undangan persembahan dan perniagaan masing-masing.
"Buat masa ini kami masih belum ada perancangan lagi untuk single baharu, namun kita masih aktif bersama kumpulan Nada Murni dalam usaha membantu rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram