Amerul Affendi alami alahan teruk akibat dos pertama, dapat pelepasan berlakon


  • Hiburan
  • Khamis, 25 Nov 2021

AMERUL diberikan surat pengecualian untuk meneruskan kerjanya selepas mengambil satu dos vaksin sahaja.

PELAKON, Amerul Affendi memberitahu yang dia diberikan kebenaran untuk meneruskan kerja seninya walaupun hanya mengambil satu dos vaksin.

Menurut Amerul, dia juga telah menerima surat pelepasan daripada doktor selepas mengalami alahan yang teruk ketika mengambil vaksin pertama Covid-19 jenis Pfizer.

"Antara alahan yang saya alami adalah ruam seluruh badan dan lelah yang dialaminya sehingga sekarang. Memang sebelum ini pada waktu kecil saya ada alahan yang sama.

"Namun, setelah saya mengambil vaksin untuk dos pertama, lelah dan alahan itu muncul semula dan mungkin saya antara yang tidak bernasib baik," katanya kepada Majoriti.

Menurut Amerul, dia juga telah berhubung dengan doktor dari hospital kerajaan berkenaan perkara itu dan sedang dalam proses untuk mengenalpasti jenis vaksin yang sesuai untuk dirinya.

Ditanya mengenai kerjaya seninya, jelas Amerul, buat masa ini tidak ada sebarang gangguan kerana surat pengesahan telah pun diterima termasuk dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Saya sudah mendapatkan surat daripada pihak pakar di hospital tentang masalah ini dan saya sudah memaklumkan kepada pihak Finas dengan menunjukkan surat tersebut sebagai bukti.

"Pihak Finas pun sudah memberikan pengecualian dengan memberikan kebenaran kepada saya untuk berlakon sekiranya ada tawaran, asalkan saya terus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Buat masa sekarang, Amerul kini dalam sesi penggambaran drama Jangan Ganggu Jodohku yang akan disiarkan di saluran Astro Ria mulai 29 November ini menerusi slot Mega Drama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram