'Guru jadi mangsa jika KPM bagi pelajar bawa telefon ke sekolah'


KEBENARAN bersyarat boleh diberikan kepada murid-murid untuk menggunakan telefon bimbit di sekolah. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan sedang menjalankan satu tinjauan secara dalam talian untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai perlu dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah atau sebaliknya.

Tinjauan secara dalam talian itu mendapat reaksi berbeza daripada pengguna media sosial yang beranggapan terdapat kebaikan dan keburukan dalam penggunaan telefon bimbit di sekolah.

Seorang pengguna media sosial, Nor Mizah berkata, beban tugas guru akan bertambah jika kebenaran membawa telefon bimbit diberikan kepada murid.

"Bertambahlah tugasan seorang guru untuk memastikan yang telefon bimbit anak-anak semua dalam keadaan selamat, jangan sampai ada kes.

"Sebab kalau hilang, jelas dan terang pihak sekolah yang akan bertanggungjawab," tulisnya di laman Facebook pada Khamis.

cikgu hp

TANGKAP layar komen netizen berhubung cadangan guna telefon bimbit di sekolah. — Facebook

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Hafiz Bukhari berpendapat, kemudahan makmal komputer sudah memadai untuk murid mengakses internet.

Menurutnya, murid boleh menggunakan Google Drive untuk menyimpan serta menggunakan dokumen atau fail kerana ia boleh diakses dari rumah dan sekolah.

"Banyak keburukan berbanding kebaikan jika bawa telefon bimbit ke sekolah terutama membabitkan murid kelas peperiksaan kerana mereka perlu fokus agenda utama di sekolah," katanya.

Norazaliza Ghazali pula berkata, memang ada pro dan kontra namun melihat lebih banyak keburukan daripada kebaikan kerana berpendapat sukar untuk mengehadkan masa anak dengan telefon bimbit (screen time).

"Tak perlulah bawa telefon ke sekolah. Sedangkan di rumah pun saya hadkan masa anak dengan telefon termasuk meminta anak serahkan telefon sebelum tidur," ujarnya.

Pada masa sama, ada juga ibu bapa yang bersetuju dengan cadangan itu dengan meminta pihak sekolah menentukan jenis telefon bimbit bersesuaian untuk kemudahan menghubungi ibu bapa ketika kecemasan.

"Jika keadaan mendesak untuk bawa telefon, mungkin boleh pertimbangkan bawa telefon jenis lama yang hanya boleh buat panggilan dan hantar sistem pesanan ringkas," kata Amna Shukri.

hp sekolah 1

TANGKAP layar komen netizen berhubung cadangan guna telefon bimbit di sekolah. — Facebook

Dimithiri Raj berkata, ibu bapa boleh menggunakan aplikasi tertentu seperti parental control app supaya dapat memantau aplikasi yang digunakan anak masing-masing.

"Aplikasi ini juga boleh lock (aplikasi lain) dan tentukan had masa melayari internet daripada telefon ibu bapa. Selain itu ia juga boleh menjejaki lokasi telefon," ujarnya.

Dalam pada itu, pengguna Facebook menggunakan nama Lopok Pisalut Anawau pula berkata, kebenaran bersyarat boleh diberikan kepada murid-murid dengan mengenakan denda jika mereka didapati guna telefon semasa guru mengajar.

"Guru terbabit dibenarkan merampas telefon dan pelajar boleh tuntut telefon dengan membayar denda. Nilai denda ini biar Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang putuskan agar semua ibu bapa akur dan mengingatkan anak masing-masing peraturan penggunaan telefon di sekolah," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPM, telefon, sekolah