LUAHAN seorang ibu yang menceritakan tentang isu bekalan air di negeri itu, tular di media sosial apabila dia mendedahkan realiti sebenar masalah tersebut.
Video berdurasi satu minit 25 saat dari laman Facebook Sabah Info itu menunjukkan perasaan kecewa dan marah wanita itu terhadap isu gangguan bekalan masalah air di kawasan perumahannya.
Masalah air yang sedang berlaku di Sabah ini melibatkan dua perumahan iaitu Universiti Utama Condominium (UUC) Telipok dan University Condo Apartment di Kota Kinabalu, Sabah.
"Bila air tiada, apa kami buat? Kami bergaduh anak beranak," kata ibu itu.
"Bayangkan saja anak saya menumpahkan air milo di bilik sehingga mengotorkan cadar tilam, saya terlalu marah kerana memikirkan di mana saya perlu basuh cadar itu," luahan ibu itu.
"Saya mencatu air untuk anak-anak saya hanya dua gayung sahaja setiap kali membuang air besar, jika mereka gunakan lebih daripada catuan saya akan marah," tambahnya.
Wanita itu berkata emosi dalam rumah akan menjadi tidak terkawal kerana masalah ini.
Komen-komen dari warganet berasa simpati dengan wanita itu dan turut bengang dengan isu air di negeri itu.
"Kaum ibu dah mula lagi bersuara. Entah berapa kali dah, harap pihak berwajib ambil tindakan drastik. Tangani masalah air yg berpanjangan," komen dari pengguna Facebook, Wie Tondekan.
"Betul. Jadi bergaduh rumahtangga orang. Masalah air nampak macam kecil, macam lucu namun tunggu sehingga kena batang hidung sendiri baru tahu tu langit tinggi ka rendah. Macam penjara berbayar kita duduk di bandaraya ni. Yang asas pun tiada apa lagi nak cerita SABAH MAJU JAYA??," respons dari pengguna Facebook Adly Aaron mengenai isu ini.
Pada Isnin, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) meminta rakyat Sabah untuk berjimat menggunakan air sepanjang catuan hingga Jun 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram