BARU-BARU ini, Majoriti melaporkan mengenai seorang mekanik yang maut diserang sakit jantung ketika menyertai pertandingan badminton di Jerantut, Pahang.
Sering kali kita terdengar gaya hidup yang tidak aktif adalah salah satu faktor risiko utama untuk mendapat tanda penyakit jantung.
Namun, tahukah anda bahawa aktiviti fizikal yang sinonim dengan 'gaya hidup sihat' juga sebenarnya sangat berisiko mengancam nyawa seseorang itu tanpa disedari?
Panel perubatan dari portal Hello Doktor ada menyatakan senaman juga ada ketikanya boleh meningkatkan risiko serangan jantung terutama pada mereka yang mempunyai penyakit jantung dan tidak memantau aktiviti yang dilakukan dengan betul.
"Betul, senaman adalah penting dalam membantu mencegah penyakit jantung. Ia umumnya selamat untuk kebanyakan orang, tetapi anda harus mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya jika doktor anda memberitahu bahawa anda mempunyai satu atau lebih faktor risiko penyakit jantung.
"Selain itu, jika anda baru sahaja mengalami serangan jantung atau masalah jantung lain dan jika anda tidak aktif sebelum ini adalah berisiko untuk anda terkena serangan jantung ketika bersenam," menurut panel kesihatan Hello Doktor.
Para doktor tersebut juga nyatakan individu dengan penyakit jantung boleh bersenam dangan selamat jika mereka menilainya terlebih dahulu kerana bukan semua senaman sesuai untuk semua orang yang mempunyai penyakit jantung.
"Sekiranya baru mula bersenam, anda boleh memulakannya dengan perlahan bagi mengelak kesan buruk. Kemudian, bincang dengan doktor sebelum memulakan program senaman baharu.
"Anda juga mungkin perlu memulakan senaman di bawah pengawasan perubatan," tambah panel perubatan itu.
Untuk lebih selamat, pertimbangkan diri anda dengan simptom yang mungkin mendatangkan komplikasi yang berbahaya.
Ini kerana, jika anda menyedari beberapa tanda amaran biasa mengenai masalah yang berkaitan dengan jantung sememangnya boleh menyelamatkan nyawa.
Menurut panel perubatan lagi, kesakitan pada dada, nafas pendek, pening atau sakit kepala ringan, degupan jantung tidak normal dan ketidakselesaan di bahagian lain badan antara simptom anda mempunyai penyakit jantung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram