WARGANET di laman media sosial Facebook sejak Rabu tersentuh hati dengan perkongsian Cikgu Share mengenai pelajar sekolah rendah yang terpaksa datang sekolah kerana lapar dan berkemungkinan datang daripada keluarga susah yang tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli makanan.
"Minggu ini ada seorang murid dari kumpulan A hadir. Saya menyangka mungkin murid itu tidak tahu tentang penggiliran. Lalu saya terangkan kepada dia. "Minggu lepas awak dah hadir, minggu ini tak payah hadir. Belajar di rumah. Minggu depan baru hadir ke sekolah. Dia mengangguk tanda faham, tulis hantaran dari laman berkenaan.
Memetik posting asal dari Cikgu Lynn Ismail, begitu pun keesokan harinya murid itu masih hadir lagi ke sekolah walau sudah ditegur oleh gurunya.
"Kenapa awak datang ke sekolah hari ini? Kan cikgu kata jangan datang minggu ini. Minggu depan baru datang," namun budak itu hanya tunduk dan diam selepas ditegur lagi.
Menurut Cikgu Share, murid itu masih saja hadir ke sekolah walau telah ditegur oleh guru-gurunya dan juga rakan-rakannya.
"Hari Selasa, giliran saya menjaga kelas waktu rehat. Budak itu penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Saya tengok dia makan nasi lauk kari ayam dengan lahapnya seolah-olah terlalu lapar. Mungkin dia datang ke sekolah setiap hari untuk makan," tambah Cikgu Share.
"Setelah hari ini hari keempat dia hadir ke sekolah minggu ini. Dan saya tak mahu lagi bertanya. Biarlah dia datang ke sekolah untuk makan."
Perkongsian dari Cikgu Share itu menerima banyak maklum balas daripada warganet yang sependapat dengannya.
Wahidah Rani memberitahu, sekolahnya juga mempunyai situasi yang sama apabila muridnya seronok datang ke sekolah sebab dapat makan RMT, selain memberitahu di sekolah mempunyai segala kelengkapan seperti lampu dan kipas berbanding dengan rumahnya yang seumpama pondok.
Komen dari Wahidah Rani di Facebook.
"Saya hanya boleh berjimat bila sekolah buka kerana saya hanya perlu beri anak saya RM3 untuk makan. Cadangan Dr Maszlee tu sangat bagus, tapi macam biasa, orang bagus tiada tempat dalam politik," komen dari pengguna Facebook Mohd Asreen.
"Apa agaknya dia makan masa PKP?" komen seorang lagi pengguna Facebook, Ilyani Che Baharim.
Antara komen lain di Facebook.
Pada Selasa, program sarapan percuma yang diperkenalkan pada 2019 tidak akan diteruskan, demikian kata Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin.
Namun, program RMT dan pemberian susu sekolah kepada pelajar golongan B40 tetap diteruskan dengan penambah baikan, jelas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram