Berang lihat dua lagi 'Karen' bebas berjalan tanpa pelitup muka di KLCC


  • Tular
  • Khamis, 18 Nov 2021

TINDAKAN dua wanita warga asing berjalan di kawasan KLCC tanpa memakai sebarang pelitup muka mengundang kemarahan warganet. — Twitter

ISU individu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan pernah tular sebelum ini apabila seorang wanita warga asing enggan memakai pelitup muka ketika berada ni sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Namun kini ia berulang sekali lagi menerusi satu ciapan seorang pengguna Twitter, @AdibahOj yang meluahkan kemarahannya setelah melihat dua wanita warga asing berlegar-legar di tempat awam tanpa memakai pelitup muka.

Menurut pemilik akaun berkenaan, kejadian itu berlaku di perkarangan KLCC pada Rabu (17 November).

“Jadi Karen je tak perlu pakai pelitup muka ke? Wow! Ini sudah melampau!

“Saya seorang warganegara yang mematuhi arahan tetapi mereka boleh berjalan-jalan tanpa memakai pelitup muka? Memang kawasan KLCC ni tempat sarang Karen sesuka hati tak pakai pelitup muka ke?

“Mana undang-undang? Wajarkah saya marah? @Khairykj?,” ciapnya di laman Twitter.

IMG_3098

TANGKAP layar ciapan yang dimuat naik oleh wanita berkenaan.—Twitter

Jelas wanita itu lagi, dia sebelum ini pernah ditegur oleh pihak polis hanya kerana mahu mengambil swafoto bersama anaknya ketika bersiar-siar di perkarangan kawasan KLCC.

"Saya marah kerana pada waktu itu saya berjalan-jalan bersama dengan anak untuk melihat air pancut di Taman KLCC. Kawasan itu kosong kerana tiada pengunjung pada hari minggu, jadi saya membuka pelitup muka untuk mengambil swafoto bersama anak.

"Kemudian datang seorang polis meniup wisel dan memberitahu bahawa saya tidak dibenarkan untuk membuka pelitup muka di sini. Nak ambil gambar pun kena pakai pelitup muka, tetapi kenapa Karen tadi tu boleh pula?," ujarnya menerusi bebenang ciapan tersebut.

Perkongsian wanita berkenaan mendapat perhatian warganet Twitter yang turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa keatas individu warga asing yang tidak mematuhi SOP.

"Hello @Khairykj @PDRMsia, dah bersepah gambar Karen berkali-kali tidak memakai pelitup muka. Takkan diam je?

"Kalau rakyat laju je nak ambil tindakan. Kami masih lagi menunggu bila nak ada tindakan terhadap warga asing yang tidak mematuhi SOP," balas seorang pengguna Twitter @ssupqwerty.

"Patutlah KLCC tu selalu ada je ke positif, cuma tidak diwar-warkan sahaja. Situ kan main spot Karen ni, tak pakai pelitup muka dan silap-silap antivaksin.

"Mereka sibuk dengan Free Country la, White Privilege la, My Body My Rules la..cubalah ikut sahaja peraturan seperti rakyat lain," kata seorang pengguna Twitter, @txhyungvi.

IMG_3093

TANGKAP layar komen warganet di laman Twitter—Twitter

"Di Singapura mereka akan dihantar semula ke negara asal jika didapati tidak menghormati undang-undang. Di sini undang-undang kita dipijak, tengok kerajaan yang gagal dan lemah ini siapa nak hormat?

"Lebih-lebih lagi undang-undang yang double standard, kayangan dan rakyat biasa. Mereka ni tergolong dalam golongan kayangan la kot," ujar seorang lagi pengguna di Twitter @LKalung.

Sementara itu, polis telahpun membuka kertas siasatan berhubung kes pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 oleh wanita warga asing di laluan pejalan kaki di Taman KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataannya pada Khamis berkata, hasil penelitian ke atas gambar yang dimuat naik menunjukkan wanita tersebut dilihat sedang berjalan kaki dengan tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki di Taman KLCC.

“Susulan daripada itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan PPN) 2021,” katanya dalam kenyataan itu.

Noor Dellhan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Karen, Taman KLCC, Pelitup Muka, SOP, KLCC