MEMULAKAN kerjaya sebagai penyampai radio di Zayan FM sejak Oktober lalu, Ustaz Ashraf Suarin memberitahu yang dia ingin menjadi seperti DJ Lin.
Menurut pendakwah itu, segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin di Suria FM menjadi panduan buatnya bagi mengendalikan segmen Zayan Hujung Minggu.
"Kalau DJ Lin dia menyelami mengenai kisah cinta pendengarnya sambil memberi nasihat dan sebagainya.
"Caranya sama tetapi pendekatan yang saya gunakan sedikit berbeza kerana saya cuba menyelami masalah-masalah yang dihadapi masyarakat kini.
"Jadi saya akan memberi nasihat kepada mereka melalui kaedah dakwah yang boleh didengari juga oleh mereka yang bukan Islam," katanya.
Ashraf berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan tengahari bersama penyampai radio Zayan FM pada Selasa.
Menurut Ashraf, kaedah dakwah kini perlu mengikut aliran zaman dan bukannya menerusi ceramah di masjid sahaja.
"Kita kena ikut perkembangan semasa. Kena tahu apa yang remaja suka dan radio adalah satu daripada caranya.
"Para pendakwah tidak lagi boleh terlalu formal tetapi perlu berfikiran dan bersikap terbuka.
"Sekarang pun semakin ramai ustaz berdakwah menggunakan Tik Tok. Pendakwah juga bukan penghukum tetapi sebagai ‘jurupandu’ kepada mereka," katanya.
DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid baru-baru ini memenangi Penyampai Radio Paling Dipercayai pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Bukan sahaja menang buat kali keempat dalam anugerah tersebut, DJ Lin turut menewaskan dua lagi penyampai radio Suria FM iaitu Tyzo dan Sharifah Shahirah.
Untuk rekod, selain empat anugerah di ABPBH, DJ Lin juga sebelum ini pernah memenangai tiga Anugerah Seri Angkasa dalam kategori penyampai radio terbaik dan program terbaik serta Anugerah Ikon Wanita Muda Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram