PENUTUPAN taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), yang terletak di Ipoh, Perak sejak tahun lalu menjadikan kawasan berkenaan terbengkalai.
Melalui perkongsian Aqilah Shahruzzaman di laman Facebook, suasana di taman tema itu kelihatan suram serta dipenuhi semak-samun.
"Dah jadi hutan kome. Apalah nasib MAPS ni. Sampai bila akan terbiar macam ni?
"Sayu tiap kali lalu depan ni. Bila la nak buka balik, rindu jumpa Smurf," katanya.
Setelah beroperasi selama tiga tahun, MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup mulai 28 Januari 2020.
MAPS Ipoh dipenuhi semak-samun. — Facebook
Menurut Jom Jalan, MAPS pada awalnya dikatakan bakal menjadi taman tema dengan watak animasi Dreamworks seperti Smurfs, Mr Peabody and Sherman, dan Casper the Friendly Ghost.
Akan tetapi, bahagian yang menempatkan bintang-bintang Dreamworks Studios ini tidak disiapkan pada masa yang dirancang.
Pembinaan tarikan untuk Dreamworks ini juga ditangguhkan beberapa kali sehingga perjanjian dengan pihak terbabit tamat pada Ogos 2018.
Ini menyebabkan MAPS dibuka tanpa tarikan utamanya.
Menurut Jom Jalan lagi, MAPS diimpikan sebagai taman tema animasi pertama dalam Asia. Ia patut datang dengan 40 tarikan di 6 kawasan taman tema.
Mengikut pelan asal, Perak Corp mensasarkan sejuta pengunjung untuk tahun pertama pembukaannya.
Walaubagaimanapun, angka sasaran ini tidak realisti. Hal ini kerana sejuta pengunjung adalah angka semasa yang dicatat oleh taman tema Lost World of Tambun berhampiran, yang telah lebih 15 tahun beroperasi dan jauh lebih terkenal.
Julai tahun lalu, Kerajaan Perak berkata pihaknya mencari pelabur swasta untuk mengambil alih MAPS tetapi masih belum ada perkembangan terbaru berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram