'Tambak laut di Melaka hanya kayakan ahli politik'


  • Massa
  • Rabu, 17 Nov 2021

NELAYAN di Melaka menganggap projek penambakan laut memusnahkan ekosistem dan menjejaskan sumber rezeki mereka. — Gambar hiasan/The Star

KEKECOHAN mengenai isu projek penambakan laut di perairan Melaka yang mencetuskan perbalahan antara nelayan dan ahli politik dilihat semakin hangat diperkatakan tatkala tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Sebelum ini, majoriti nelayan di Melaka meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa projek penambakan laut beberapa tahun kebelakangan ini yang tetap diteruskan tanpa mengira parti politik yang memerintah.

Rata-rata nelayan yang ditemui mendakwa, projek-projek berkenaan telah memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil juga percaya ahli politik yang berkuasa akan melakukan projek seperti dirancang di Melaka untuk kepentingan sendiri.

Menurut beliau, tiada sebarang kebaikan bakal diperoleh oleh nelayan terbabit sekiranya projek penambakan itu diteruskan di Melaka.

"So far (setakat ini), yang saya tengok semua miskin adalah. Sama juga dengan pembalakan, melombong, mereka kata untuk rakyat tetapi ramai rakyat yang miskin.

"Kalau mereka kata untuk kesejahteraan rakyat pun saya rasa semua itu mengarut," katanya kepada Majoriti.

9DC4E1C8-8D86-4036-90D7-4B93E263CDEF

Puan Sri Shariffa menganggap tiada kebaikan diperoleh nelayan menerusi aktiviti penambakan. —The Star

Mengulas lanjut, Shariffa berkata, terdapat banyak penambakan dilaksanakan di Melaka dan beliau tidak bersetuju sekiranya ada lagi penambahan projek berkenaan.

Justeru, beliau menyarankan supaya lebih baik bangunan-bangunan yang terbengkalai dimajukan di negeri itu berbanding tindakan menambak laut, sekali gus memusnahkan ekosistem dan kehidupan nelayan.

"Bila kita tengok apa-apa penambakan di laut, memang semuanya memusnahkan ekosistem di laut dan (hidupan) marin-marin laut semuanya banyak yang musnah.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi saya nak pemimpin yang ada lebih pro dan menjaga alam sekitar, terutamanya khazanah alam. Macam-macam projek mereka create (cipta) tapi kebanyakannya projek yang memusnahkan alam," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun terdapat projek-projek penambakan laut di perairan Melaka, nelayan masih boleh menjalankan aktiviti perikanan seperti biasa kerana kawasan laut luas dan tidak hanya terhad di kawasan penambakan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka berkata, isu penambakan laut di negeri bersejarah itu merupakan perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri yang bertujuan untuk menarik para pelabur di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan.

“Jadi, dengan adanya tambah nilai penambakan laut ini, banyak pelabur yang datang untuk melabur dalam industri perhotelan, dalam bentuk perindustrian dan ia telah memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri.

“Tetapi, nelayan boleh lagi meneruskan kehidupan sebagai nelayan kerana laut itu luas, bukan sahaja di dalam kawasan ditambak ini.

“Walaupun ada kesan, tetapi kerajaan negeri akan memberikan perlindungan untuk mereka ini supaya pembangunan itu boleh dimajukan dan pendapatan mereka tidak terjejas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram