EKSKLUSIF

Dulu Abang Long, kini usahawan berjaya


IDEA untuk mengeluarkan jenama sendiri iaitu Dolive terbit selepas lapan tahun pasangan suami isteri itu menjadi ejen perniagaan sabun. — Majoriti

EPISOD hitam usahawan bumiputera berjaya, Mohd. Hafiz Arbaee, 34, berlaku seawal usianya 10 tahun apabila terpengaruh dengan kegiatan nakal sekumpulan remaja di kampungnya di Bagan Datuk, Perak.

Bermula dengan perasaan suka-suka menghidu gam sebelum semakin berani mencuba pelbagai jenis dadah berbahaya, Mohd. Hafiz yang ketika itu dikenali 'Wak Lu' juga sememangnya Abang Long kawasan yang cukup digeruni kerana sikapnya yang pantang dicabar, lantang dan berani. Itu belum lagi dikira kehidupan keluar masuk lokap yang seolah-olah menjadi rutin biasa buatnya.

Jika tidak kerana dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan jenayah berat dadah ketika usianya 19 tahun, mungkin Mohd. Hafiz bukanlah jutawan pengasas produk sabun bumiputera Dolive seperti yang dikenali ramai ketika ini.

“Pada zaman itu saya memang nakal, kalau nak ikutkan jika polis masuk ke kampung sayalah orang yang wajib dicari. Banyak kesalahan yang saya lakukan, hisap dadah, bergaduh. Malah, saya dianggap ketua gengster di kampung. Walaupun kerap keluar masuk penjara (ditahan reman) saya masih kembali ke kancah yang sama.

“Sehingga pada satu hari saya terlibat satu jenayah berat. Ketika itu masih di bawah umur dan saya kemudiannya dihantar ke Henry Gurney. Selepas keluar, saya nekad untuk mengubah diri dan cuba berusaha sebaik mungkin untuk membantu keluarga,” katanya kepada Majoriti.

MOHD. Hafiz bertuah kerana memiliki isteri yang memahami.

Mohd. Hafiz memberitahu, meskipun dia nakal, hatinya akan mudah terusik apabila menyentuh perihal keluarga. Sebab itu apabila tiba-tiba terdengar kata seorang saudara kepada ibunya bahawa dia tidak ada masa depan yang cerah, Mohd. Hafiz nekad untuk berubah sebelum berhijrah ke Sungai Buloh, Selangor sebagai pemandu lori ketika usianya 21 tahun.

Pertemuan bersama isteri, Nurul Hassrah Mohd. Khori, 30, juga yang merupakan penguat semangatnya untuk mengubah hidup memajukan diri sekali gus memberi keselesaan buat keluarga.

“Sejak bujang sehingga berkahwin, saya dan isteri telah melakukan pelbagai jenis kerja. Kalau nak tahu, isteri juga pernah bekerja bersama saya sebagai kelindan lori.

“Kami juga mula berniaga dan bertindak sebagai ejen selepas tertarik dengan sebuah perniagaan menjual sabun. Bermula dari situ, kami berdua belajar cara untuk berniaga termasuk menyewa tapak di pasar malam sehinggalah berjaya menjadi stokis dan kerap mendapat jualan paling tinggi,” jelas bapa kepada lima cahaya mata itu.

Selepas lapan tahun berniaga, akhirnya timbul idea untuk mengeluarkan jenama sendiri iaitu Dolive yang mula bertapak di Pulau Pinang pada 2018 sebelum membuka kilang kedua di Seri Kembangan, Selangor setahun kemudian.

Sejak itu, Mohd. Hafiz dan isteri tidak lagi menoleh ke belakang dan hasilnya, Dolive kini mempunyai pelbagai jenis produk sabun basuh baju dan pencuci pinggan mangkuk yang menjadi pilihan ramai.

Sementara itu, seorang lagi lepasan Sekolah Henry Gurney yang hanya mahu dikenali sebagai Amran turut tidak pernah bermimpi untuk menjadi pengurus sebuah syarikat kereta terpakai jika mahu disingkap semula perjalanan hidupnya yang penuh onak duri sebelum ini.

"Semua orang tidak mahu mengambil saya bekerja di kampung di Perak kerana tahu saya dimasukkan ke Henry Gurney atas kesalahan mengedar dadah. Saya sebenarnya pendiam, tetapi semakin lama berubah menjadi semakin nakal selepas terjebak dengan dadah.

"Bohonglah kalau saya katakan tidak pernah berputus asa, tambahan pula apabila ahli keluarga sendiri enggan mengambil peduli akan nasib diri ini.

"Mujurlah ada seorang rakan baik yang tidak putus-putus memberikan semangat dan meminta pertolongan sepupunya untuk mendapatkan saya pekerjaan di ibu negara, jika tidak entah bagaimanalah kisah kehidupan saya sekarang," kata bapa dua orang cahaya mata itu.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Henry Gurney, Dolive, bangkit, sejarah hitam