DULU tukang cuci, kini masakan air tangan wanita ini ditagih pelanggan yang sanggup datang dari luar Kelantan.
Malah wanita ini Suwarin Jinda Abdullah, 50, juga antara individu terawal yang memperkenalkan hidangan daging harimau menangis di Kelantan sebelum ianya dikenali ramai di seluruh negara.
Siapa sangka ibu tiga anak yang suatu ketika dahulu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pusat penginapan kini mampu memiliki resorannya sendiri serta menggaji 46 orang pekerja lain.
Berasal dari Thailand, Suwarin menetap di Kota Bharu, Kelantan selepas berkahwin dengan suaminya Azli Mohd Zain, 61.
Sebelum memiliki restoran sendiri, dia dan suami bekerja di sebuah pusat penginapan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) selama lebih 10 tahun sebelum terpaksa berhenti kerja apabila perniagaan di pusat penginapan terjejas teruk.
"Saya menjual nasi berlauk pada sebelah pagi manakala pada petangnya, menjual nasi lemak pula berdekatan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa.
"Saya hanya mampu bertahan beberapa tahun sebelum ada pihak yang mengajak bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan," katanya, menambah dia hanya sempat bekerja selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan berniaga sendiri.
Pada hujung 2017, Suwarin menyewa ruang berdekatan sebuah pusat penginapan untuk membuka kedai makan.
Dengan hanya bermodalkan wang simpanan RM300, Suwarin mencuba nasib mencari rezeki dengan menjual mi celup.
Suwarin kini memiliki restoran sendiri iaitu Suwarin Jinda Cafe terletak di Kelantan.
"Ketika itu semua peralatan memasak saya pinjam daripada rakan-rakan yang bermurah hati menolong.
"Pada awalnya, kedai itu hanya dikunjungi orang kampung kerana lokasinya agak tersorok dari jalan utama.
"Saya cuba mencari kelainan dengan menawarkan menu berbeza daripada kedai lain dan tercetus idea untuk menyajikan daging harimau menangis," katanya yang memeluk Islam sejak 21 tahun yang lalu.
Menurut Suwarin, dia memperkenalkan menu daging harimau menangis pada Januari 2018 dan tidak menduga ia mendapat sambutan begitu menggalakkan.
Hinggakan ada pelanggan yang datang dari luar Kelantan semata-mata untuk menikmati keenakan hidangan itu.
"Daging harimau menangis ini adalah menu dari Thailand dan ia diambil dari perkataan 'Sua Rong Hai' iaitu Sua bermaksud harimau dan Rong Hai ialah menangis.
"Saya bersyukur hidangan ini digemari ramai dan mempelbagaikan lagi menu seperti Miang Pla, Miang King dan Muk Bang untuk menepati cita rasa pelanggan.
"Kini, hidangan itu boleh didapati dalam versi sejuk beku bagi membolehkan penggemar dari luar Kelantan untuk menikmatinya pada bila-bila masa tanpa perlu berkunjung ke negeri ini," kata pemilik Suwarin Jinda Cafe ini.
Dalam pada itu, meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Suwarin tetap bertahan demi memastikan kebajikan pekerjanya terjaga.
Kata Suwarin, tiada istilah putus asa dalam hidupnya kerana dia perlu memikirkan nasib pekerja dan keluarganya.
Baginya, jatuh bangun adalah lumrah dalam perniagaan dan ia mengajarnya erti kesabaran demi membangunkan perniagaan.
"Alhamdulillah, berkat sokongan suami, anak-anak, pekerja dan pelanggan setia, restoran ini mampu bertahan sehingga kini.
"Saya berpegang pada konsep berusaha selagi termampu dan jangan kedekut untuk memperturunkan ilmu kepada pekerja terutama dalam masakan.
"Pekerja diajar dengan ilmu memasak secukupnya sehingga ada yang sudah mahir dan mampu membuka kedai makan sendiri di Jerteh, Terengganu," katanya yang tumpang gembira dengan pencapaian bekas pekerjanya. — Harian Metro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram