Takut reptilia dorong Yantie jadi usahawan berjaya


CIK Yantie (kiri) kini lebih dikenali sebagai Madam Serai Wangi di media sosial. — Facebook

RASA takutnya terhadap reptilia seperti cicak dan ular mendorong seorang wanita untuk menceburi bidang keusahawanan dengan menghasilkan produk penghalau penghalau serangga.

Cik Yantie Ismail, 42 tahun, atau lebih dikenali sebagai Madam Serai Wangi di media sosial berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Dia yang mengalami "herpetophobia" itu berjaya menghasilkan produk penghalau serangga berasaskan serai wangi dengan jenama LERY Serai Wangi.

Cik Yantie berkata, dia mengambil masa dua tahun untuk menjalankan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) mengenai produk yang ingin dihasilkan itu.

Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada awalnya mengkaji hampir kesemua produk penghalau serangga yang ada dalam pasaran sebelum memula menghasilkan produk sendiri.

Hasil kajian itu, dia mendapati serai wangi adalah bahan organik terbaik dan praktikal serta mesra alam untuk dijadikan sebagai bahan utama dalam produk penghalau serangga.

Selain turut berpandukan kepada hasil kajian R&D itu serta petua daripada orang tua-tua, kemudiannya berjaya menghasilkan formula terbaik yang lebih praktikal serta selamat untuk dijadikan bahan utama menghalau serangga.

Produk berkenaan, katanya, 100 peratus menggunakan pati serai wangi yang asli serta dihasilkan dari sumber tempatan.

Melangkah lebih jauh

Pada permulaan perniagaan, operasi dan penghasilan produk LERY Serai Wangi dihasilkan dari rumah dengan sampel kecil diberikan kepada bakal pelanggan.

Menurut Cik Yantie, secara tidak langsung usaha itu membantu aktiviti R&D bagi menaik taraf kualiti produk sebelum dipasarkan secara serius ke pasaran korporat dan runcit.

Dia kini menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan dari syarikat besar selain pasaran runcit sebelum melangkah lebih jauh ke pasaran luar negara.

Menjelas lanjut, idea tercetusnya minat mendalam dalam bidang keusahawan adalah semasa beliau bekerja di Jabatan Komunikasi Korporat, di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada tahun 2005 hingga 2007.

Tugas seharian dia yang banyak bergaul dengan para usahawan membuatkan timbul minat yang mendalam dalam bidang keusahawan terutama yang bermula daripada peringkat bawah.

Akhirnya Yantie berkata, dia memilih perusahaan produk berasaskan serai wangi sebagai salah satu produk penghalau serangga kerana beliau sangat takutkan cicak sehingga mencapai tahap 'herpetophobia' dan boleh menangis jika ternampak cicak.

Jadi bermula dengan rasa fobia yang tinggi terhadap cicak serta minat mendalam dalam bidang pengemasan, maka dia bertekad untuk menghasilkan sendiri produk berkenaan.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram