Kanak-kanak terbit akhbar sendiri


  • Hobi
  • Ahad, 12 Sep 2021

AKHBAR bertulis tangan itu dijual dengan harga RM16.78. — Agensi

BAGI kebanyakan kanak-kanak, hobi mereka tentunya berkaitan menonton kartun, mewarna atau bermain permainan video tetapi lain pula ceritanya dengan Stella Harrison.

Walaupun Harrison baru berusia sembilan tahun, dia sudah menjadi seorang 'wartawan' di kawasan kejiranannya.

Dia menubuhkan projek medianya yang tersendiri iaitu The Norwood News bagi mengisi masa lapangnya ketika berada di rumah sewaktu sekolah ditutup di Amerika Syarikat (AS).

"Saya fikir adalah penting untuk kekal berhubung dan memastikan orang ramai mengetahui perkembangan terkini," kata Harrison.

Kanak-kanak itu menerbitkan akhbar tulisan tangan secara bulanan dengan harga AS$4 (RM16.78) selepas melihat buku skrap lama milik keluarganya.

"Saya melihat keratan akhbar tentang ibu saudara saya. Mereka bercakap tentang dia menerbitkan akhbar, jadi saya memutuskan untuk melakukannya juga," ujarnya lagi.



HARRISON sedang menyiapkan artikel terbaharunya. — Agensi

The Norwood News meliputi semua berita daripada sukan tempatan sehingga politik.

"Saya tidak sangka begitu banyak perkara menarik yang berlaku di Norwood, Ohio. Di mana saya selama ini?" kata jiran Harrison, Matt Crawford selepas membaca akhbar tersebut buat kali pertama.

Menurut Crawford, dia suka melihat apa yang dibawakan projek media Harrison kepada komuniti di kawasan tersebut.

"Ia memastikan masyarakat demokratik kita tidak kehilangan sesuatu yang sangat penting iaitu kebebasan berfikir dan kebebasan media," katanya.

Menariknya, setiap isu akhbar itu turut merangkumi segmen resipi dan rencana tentang penduduk setempat.

"Saya menulis satu isu tentang Paisley Atwood. Dia berusia 8 tahun dan mempunyai enam ekor ayam serta menjual telur ayam," ujar Harrison.

Kerja keras yang ditunjukkan oleh Harrison untuk menerbitkan akhbar berkenaan turut mendapat pujian daripada adik perempuannya iaitu Ana.

Malahan Ana juga membantu Harrison mengedarkan akhbar terbabit kepada penduduk di situ.

"Saya tidak pernah terfikir seseorang dalam keluarga saya akan menerbitkan akhbar. Ia sangat hebat," kata Ana.

Memandangkan sekolah akan dibuka semula, Harrison berkata, akhbarnya itu akan diterbitkan secara bermusim. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram