Obses burung Love Bird, lelaki sanggup gadai Honda CRV


  • Hobi
  • Isnin, 30 Ogos 2021

DIDIK (kiri) sanggup menawarkan kereta miliknya demi mendapatkan Love Bird baka Australian Yellow Face milik Elly. — Agensi

OBSESI terhadap hobi boleh membuatkan seseorang melakukan perkara di luar jangka. Tambahan pula apabila hobi itu melibatkan minat seseorang terhadap sesuatu perkara atau aktiviti.

Siapa sangka kerana sepasang burung, seorang lelaki di Surabaya, Indonesia sanggup 'mengorbankan' kereta jenis Honda CRV model tahun 2009 miliknya.

Kerana terlalu meminati burung cinta (Love Bird) jenis Australian Yellow Face, lelaki asal Lamongan, Didik Saputro,39, tidak teragak-agak menawarkan kenderaan miliknya yang berharga Rp 125 juta (RM 36,591) kepada pemilik burung itu.

Didik yang merupakan peminat dan pengumpul burung eksotik itu memberitahu, dia sudah memiliki pelbagai jenis burung dari jenis yang sama.

Cuma katanya dia masih belum ada dari baka Australian Yellow Face.

"Selepas mengetahui bahawa ada orang mempunyai burung itu, saya terus mencari maklumat dan bertemu dengannya. Saya amat kagum bila melihat burung itu di depan mata dan tidak teragak-agak menawarkan kereta saya sebagai tukaran kepada burung tersebut.

"Burung itu sangat cantik dan saya sudah lama mencarinya. Ia agak sukar ditemui dan saya tidak mahu melepaskan peluang memilikinya. Soal kereta itu boleh difikirkan kemudian," katanya.

Pemilik kepada burung tersebut, Elly Susilowati memberitahu dia tidak menyangka akan ditawarkan sebuah kereta untuk burung yang telah dijaganya selama setahun itu.

Menurutnya, dia awalnya agak sedih untuk melepaskan burung itu tetapi kerana Didik sangat bersungguh dia bersetuju untuk menukarnya dengan kereta lelaki itu.

"Saya juga pencinta burung dan melihat kepada kesungguhan Didik, saya rasa dia juga boleh menjaga ia dengan baik.

"Jika ada kesempatan nanti saya akan berkunjung ke rumah lelaki itu dan melihat koleksi burung miliknya," ujarnya wanita asal Surabaya itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Obsesi, honda, burung, gadai