KURANG lima hari saja lagi Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menoktahkan sejarah baharu sukan negara, membawa cabaran Malaysia ke pertandingan eSports, Champions eFootball.
Penganjuran sulung di peringkat serantau, Asia Tenggara itu akan berlangsung 9 September hingga 7 Oktober ini dan akan bermain permainan PES 2021.
Bintang Harimau Selatan, Mohamadou Sumareh akan jadi taruhan dalam kategori Star manakala eFootballer, Mohamad Nor Haikal Noh yang menduduk tempat keempat Sukan Asia 2018 bermain dalam kategori Elite.
Penganjuran yang turut mendapat pengiktirafan daripada pentadbir sukan eSport, Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) itu juga akan disertai kelab gergasi lain dari negara jiran.
"Didorong oleh minat kami terhadap bola sepak, kami teruja untuk menjejakkan kaki ke dunia eSports sambil memaparkan lambang dan warna kelab kesayangan kami, JDT FC," kata pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
"Champions eFootball akan memberi kita peluang untuk mempamerkan bakat muda yang mewakili kelab sambil menarik penonton-penonton yang baru di eSports.
“Kami juga bersemangat untuk bersaing dengan kelab-kelab lain di rantau ini dan menantikan perlawanan-perlawanan antarabangsa pada masa hadapan.”
Thailand menghantar dua wakil, Buriram United dan Chonburi FC diikuti Tampines Rovers (Singapura), Persib Bandung (Indonesia), Nagaworld FC (Kemboja), United City FC (Filipina) dan Ho Chi Minh City FC (Vietnam).
Selain Sumareh, antara pemain bola sepak profesional lain yang sudah mengesahkan akan turut serta adalah Beckham Putra dari Indonesia, Worachit Kanitsribumphen (Thailand) dan Lam Ti Phong (Vietnam).
Setiausaha Agung AUSF, Sebastian Lau pihaknya cukup gembira dengan penganjuran ini dengan menggabungkan sukan bola sepak sebenar dan esports.
“AESF teruja untuk bekerjasama dengan Champions eFootball. Kami tidak sabar untuk melihat apa yang bakal dijanjikan buat kelab bola sepak dan peminat di rantau ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram