eSports, bukan sekadar bermain games


  • eSports
  • Sabtu, 04 Sep 2021

APU menawarkan ijazah sarjana muda dalam Pembinaan Permainan Komputer dan Sijil Profesional dalam Pengurusan eSports. — Agensi 

SUKA mengadap permainan video berjam-jam? Atau masa makan dan tidur pun otak masih ligat menyusun strategi untuk naikkan rangking dan dapat MVP (medal tertinggi yang dikejar pemain).

Kalau jawapannya ya, jangan khuatir, sebab usaha anda ini semua tidak akan sia-sia.

Malahan, pencinta permainan video kini berpeluang untuk mendalami minat mereka ini serta membina kerjaya dalam bidang yang sama.

Asia Pasific University of Technology and Innovation (APU) yang terletak di Kuala Lumpur merupakan antara institusi pengajian tinggi yang menyediakan jurusan yang pasti menarik minat gamers sekalian.

Antaranya program ijazah sarjana muda (kepujian) dalam Pembinaan Permainan Komputer.

Salah seorang pelajar mereka, Chung Yee Xiang, 22 berkata dia mula belajar bermain permainan video dari abangnya dan hobinya itu kemudiannya memberi inspirasi untuk dirinya belajar lebih lanjut mengenai seni penghasilan sesebuah permainan video yang berkualiti.

"Saya membesar dengan bermain permainan video, yang paling saya suka sekali Pokemon.

"Sejak kecil lagi saya minat (dengan permainan video) dan saya tahu yang saya ingin belajar tentang cara-cara untuk menciptanya," katanya kepada sebuah akhbar tempatan.



Penggemar permainan video boleh mendalami minat mereka dengan belajar cara-cara membina suatu permainan yang berkualiti.

Seorang lagi pelajar Lee Hua Long, 20 berkata permainan video membantu dirinya menghilangkan tekanan di samping melatih fungsi otaknya.

"Saya tertarik dengan permainan video yang mempunyai jalan cerita, saya ingin kaji proses penceritaan yang digunakan pengarah dan bagaimana ianya diterjemahkan ke dalam satu-satu permainan itu sendiri," katanya.

Bagi Chung dan Lee, Ijazah Sarjana Muda Pembinaan Permainan Komputer ini memberi mereka peluang untuk mendalami minat mereka di samping mempelajari cara-cara membina sesuatu permainan video dari awal hingga akhir.

Mereka kini juga lebih peka akan segala aspek teknikal selain mempelajari sisi pandangan lain mengenai teknik untuk menjadikan sesuatu permainan video itu bagus.

Mengetuai Sekolah Pengkomputeran di APU, Profesor Madya Wong Bee Suan berkata mereka sentiasa mendapatkan pandangan daripada pakar industri, syarikat permainan dan syarikat bukan permainan, universiti lain serta bekas pelajar untuk terus memperbaiki kursus sedia ada supaya ianya selaras dengan keperluan semasa.

Selain permainan komputer, satu lagi industri permainan yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat adalah industri eSports atau sukan elektronik.

Selaras dengan perkembangan industri ini, beberapa institusi pendidikan tinggi telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan lebih banyak kursus bagi melahirkan bukan sahaja pemain bahkan tenaga pakar lain yang diperlukan.

Antara FSA eSports Academy (FSAEM) yang bekerjasama dengan Orange eSports untuk mewujudkan program Sijil Profesional dalam Pengurusan eSports.

Kursus selama empat bulan ini dibangunkan dan dikendali pengurus Orange eSports, Kelvin Pang yang mempunyai hampir 20 tahun pengalaman sebagai pemain dan juga penganjur kejohanan eSports.

"Tugas saya adalah untuk mendidik dan memberi pencerahan kepada orang ramai bahawa eSports ini bukan sekadar sekumpulan kanak-kanak bermain permainan," katanya, merujuk kepada salah faham masyarakat mengenai industri tersebut.

Pang yang juga ahli exco Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) berkata terdapat pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang eSports antaranya pemasaran, merancang kejohanan, menyiarkan kejohanan dan banyak lagi.

Katanya lagi khusus ini menggunakan sistem pembelajaran secara projek-based yang mana pelajar akan didedahkan tentang cara-cara bagaimana untuk menganjurkan, memasarkan dan menyiarkan pertandingan eSports.

"Sekarang, studio (di mana kelas akan dijalankan) sedang beroperasi, kerana kami mempunyai kejohanan nasional yang sedang berlangsung.

"Buat masa ini kelas dijalankan secara dalam talian, tapi kami bersedia untuk mengadakan kelas secara fizikal," katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

permainan video, eSports, APU, MESF