Peluang terokai pengiklanan e-sukan


  • eSports
  • Ahad, 29 Ogos 2021

PENULARAN pandemik Covid-19 sejak tahun lalu menyebabkan banyak acara sukan tradisional terpaksa dihentikan dan situasi tersebut membuka ruang kepada e-sukan untuk 'menyerlah'.

Pertumbuhan bidang berkenaan yang pesat turut memberi peluang kepada para pengiklan untuk menjana pendapatan dalam e-sukan.

Menurut portal The Drum memetik laporan daripada Newzoo, pelaburan jenama global dijangka melepasi nilai AS$1 bilion (RM4.2 bilion) buat kali pertama pada tahun ini berbanding AS$974 juta (RM4.1 bilion) tahun lalu.

Sebelum ini, e-sukan hanya terhad kepada firma terkemuka yang mempunyai dana besar untuk dibelanjakan bagi tujuan kolaborasi dan tajaan eksklusif namun pengiklanan dalam permainan video mengubah segala-galanya.

Beberapa faktor seperti teknologi baharu, peranti permainan lebih berkuasa, kemunculan pemain baharu dan peningkatan permainan video berbentuk multiplayer percuma yang menyokong iklan banyak membantu para pembangun dari segi model pembiayaan utama.

Pengiklanan dalam permainan semakin bertapak dalam e-sukan dan membantu firma dan agensi kecil tampil di hadapan penonton seluruh dunia.

Selain itu, pengiklanan dalam permainan juga membantu firma serta agensi menyampaikan iklan secara dinamik ke dalam permainan video yang bersesuaian dengan pengalaman e-sukan serta memberi peluang kepada pengiklan untuk menarik lebih ramai penonton di seluruh dunia.

Di samping itu, pengiklanan dalam permainan e-sukan turut memberikan akses data pengguna, segmentasi dan pulangan pelaburan yang jelas kepada para pengiklan. — AGENSI

iklan, jenama