BAGI mereka yang suka melancong, pastinya akan ada sesuatu yang akan dikumpul sebagai kenangan. Kebiasaannya magnet peti ais dan rantai kunci (keychain) adalah barangan yang menjadi pilihan.
Berbeza dengan lelaki dari Itali, Edoardo Flores yang memilih untuk mengumpul papan tanda 'Do Not Disturb' dari hotel-hotel yang dikunjungi sebagai koleksi peribadi kenangan melancong di seluruh dunia, lapor portal Independent.uk.
Merupakan seorang bekas pekerja di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Edoardo mula mengumpul papan tanda itu selepas dicadangkan oleh seorang rakan sekerja. Ketika itu dia hanya mengambil papan tanda 'Do Not Disturb' semasa lawatan kerja di Pakistan dan menggantungkannya di pintu pejabat.
"Rakan saya mengesyorkan supaya saya mengambil papan tanda berkenaan setiap kali melancong atau lawatan kerja. Selepas daripada itu koleksi saya mula berkembang dan setiap kali ke luar negara saya juga akan mengambil papan tanda lebih sebagai cenderahati buat rakan-rakan.
"Saya juga akan berpesan kepada rakan sekerja lain yang terlibat lawatan kerja di luar negara untuk membawa pulang papan tanda tersebut untuk saya. Sehingga hari ini saya mempunyai kira-kira 15,000 koleksi dari seluruh dunia," katanya.
Tambahnya lagi, sepanjang mengumpul papan tanda 'Do Not Disturb', dia mendapati bahawa setiap negara mempunyai rekaan yang berbeza-beza. Setiap tahun, akan ada papan tanda yang unik ditemui dan ada juga yang biasa tetapi bermain dengan rekaan grafik dan mesej yang lucu.
Kebanyakan papan tanda yang unik dan lucu ditemui olehnya sekitar tahun 1940-an dan 1950-an. Namun, semakin lama banyak hotel yang menggunakan rekaan biasa iaitu sekeping kad gantung.
"Saya banyak menemui papan tanda yang menarik semasa kunjungan ke negara-negara Asia. Kebanyakan papan tanda di sana menggunakan hasil kraf tangan mengikut negara masing-masing. Ada yang menggunakan patung kayu dan diukir dengan perkataan.
"Di United Kingdom pula saya banyak menemui papan tanda yang menggunakan patung sumbat. Ia unik dan lain daripada yang lain," ujarnya.
Jelasnya lagi, salah satu tanda paling jarang ditemui dalam koleksinya berasal dari Domus Sanctae Marthae di Vatican City, sebuah hotel untuk ahli perniagaan yang tinggal di negara bangsa terkecil di dunia itu.
Hobi Edoardo turut mendapat perhatian ramai pihak termasuk dari stesen televisyen dari Jerman dan tempatan yang membuat satu laporan berhubung minatnya itu.
Terdapat beberapa koleksinya juga yang dipamerkan di Dubai dan Belanda. Dia juga mahu membuka muzium papan tanda sendiri untuk mempamerkan koleksi papan tandanya kepada orang ramai.- Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram