Mendaki gunung, hobi yang boleh buat ketagih


  • Hobi
  • Rabu, 01 Sep 2021

KEPENATAN mendaki akan berbaloi selepas pendaki berjaya ke puncak dan menikmati keindahan alam sekitar disekelilingnya. — Agensi
BAGI yang gemar mendaki gunung, sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai mana-mana ekspedisi yang ditawarkan jika mereka berkesempatan.

Pada yang berpengalaman mendaki, pastinya mereka tahu apa sebenarnya nikmat yang dikecapi selepas berjaya menawan puncaknya.

Setiap orang mempunyai kepuasan tersendiri dalam mendaki gunung, tetapi kebanyakan mereka akan merasa gian sekiranya sudah lama tidak dapat melakukan aktiviti itu.

Mendaki adalah salah satu cara untuk seseorang melepaskan tekanan mereka selain lari dari kesibukan ibu kota. Bermula dari bawah, pendaki akan dijamu dengan kehijauan alam dan seterusnya pemandangan yang indah selepas berjaya ke puncak. Ketika itu segala penat lelah terasa berbaloi.

Suasana ketika di puncak sebenarnya menjanjikan ketenangan yang tersendiri. Tambahan pula, dengan udara yang bersih dan dingin ketika di dalam laluan hutan mahupun puncak, pemikiran akan berasa lebih tenang. Malah, segala beban kerja atau kehidupan terasa hilang seketika.

Mendaki juga lebih seronok dilakukan secara berkumpulan. Ini lebih selamat jika ada kemalangan yang berlaku semasa pendakian.

Mendaki boleh memupuk sifat kerjasama dan saling bantu membantu antara satu sama lain.

Kebersamaan ini menjadikan hubungan lebih akrab dan ia juga boleh menjadi medium untuk memperluaskan lagi jaringan sosial kerana setiap ekspedisi berkumpulan pasti akan ada orang baru yang menyertainya.

Bagi yang baru berjinak-jinak untuk mendaki gunung, ia pasti akan menjadi satu pengalaman baru yang mengasyikkan.

Mungkin akan terasa sukar pada awalnya tetapi percayalah mendaki gunung akan menjadi aktiviti kesukaan apabila sudah berjaya menyelesaikannya (sampai ke puncak). Malah, ia juga merupakan aktiviti yang menyihatkan dan boleh menguruskan badan.

Sebaiknya belajar dengan mereka yang berpengalaman dan cuba mendaki di gunung yang mempunyai laluan yang mudah di peringkat awal ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiking, gunung, bukit, gian