'Anak-anak dah lama berlatih dan berjuang', ibu bapa gesa SBP kaji semula keputusan ‘rehat’ sertai kejohanan ragbi


  • Podium
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Pembatalan kejohanan itu dipercayai susulan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar SBP pada minggu lepas.

SEKOLAH-SEKOLAH di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tergolong dalam rangkaian Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dilihat akan mengambil langkah berehat seketika daripada menyertai kejohanan ragbi.

Memetik kenyataan dikongsikan Ragbi Online di laman Facebook pada Jumaat, keputusan dibuat susulan pembatalan kejohanan Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) 10s yang sepatutnya berlangsung dalam masa terdekat.

Difahamkan, semua pasukan ragbi SBP yang dijadualkan bertanding dalam AKRAM-MMU Rugby 10s tersebut juga telah dinasihatkan supaya menarik diri daripada kejohanan berkenaan.

BACA LAGI: Kejohanan Ragbi SBP7s ditunda ke Januari, hormati tragedi kematian pelajar SMS Johor

BACA LAGI: Hormati insiden pelajar SMS Johor meninggal dunia ketika perlawanan, Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP 2025 akan dijadualkan semula

"Sekolah-sekolah SBP dilihat akan berehat seketika daripada menyertai pertandingan ragbi susulan pembatalan kejohanan SDAR 10s.

"Kami juga menerima maklumat bahawa semua sekolah SBP yang sepatutnya mengambil bahagian dalam AKRAM-MMU Rugby 10s telah dinasihatkan untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut," kongsi laman itu.

Perkembangan itu dipercayai susulan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar SBP yang juga pemain ragbi ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak pada minggu lepas.

Namun, langkah yang diambil pihak pengurusan SBP itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet termasuk pengguna Facebook, Muhamad Hariri yang menzahirkan pandangannya terhadap keputusan tersebut.

Dalam catatan di laman Facebooknya, dia berpendapat bahawa keputusan membatalkan dan melarang semua pasukan SBP daripada menyertai mana-mana kejohanan ragbi ketika ini dianggap terlalu drastik dan tidak berasas.

"Kejadian meninggal dunia sewaktu bersukan bukan sahaja berlaku pada sukan ragbi, malah pada sukan-sukan yang lain termasuklah acara larian/marathon.

"Tidak dinafikan, kita harus bersolidariti dan siasatan mengenalpasti punca serta langkah pencegahan perlu diambil sekiranya terdapat faktor kelemahan dan kecuaian dlm setiap insiden yang berlaku.

"Berbalik kepada ragbi, kami telah difahamkan pihak SBP telah meminta semua kejohanan ragbi anjuran SBP dibatalkan dan semua pasukan di bawah SBP tidak boleh menyertai apa-apa kejohanan ragbi tidak kira siapa pun penganjur. Ini merupakan satu arahan yang tidak logik dan tiada usul periksa," jelasnya.

Muhamad Hariri turut mempersoalkan sama ada pihak SBP mengambil kira pengorbanan besar daripada segi kewangan, masa dan tenaga yang telah dicurahkan oleh pihak sekolah, penganjur, jurulatih serta pelajar untuk menyertai kejohanan tersebut.

Tangkap layar komen daripada Muhamad Hariri.

"Adakah pihak SBP mahu menanggung kerugian pasukan dan sekolah? Adakah mereka memikirkan emosi anak-anak yang telah lama berlatih dan berjuang? Ajal itu ketentuan Tuhan, tetapi langkah keselamatan boleh ditambah baik, bukan dengan menghentikan semuanya," katanya lagi.

Pengguna Facebook itu turut menggesa pihak pengurusan SBP, khususnya pengarah yang bertanggungjawab agar membuat pertimbangan yang lebih wajar dan seimbang, mengambil kira kepentingan semua pihak.

Setakat ini, pihak KPM atau pengurusan SBP belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung arahan penangguhan penyertaan sekolah-sekolah SBP dalam kejohanan ragbi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram