
SETIAP kali menjelang cuti sekolah, ibu bapa mula berkira-kira jika mahu membawa anak-anak bercuti atau simpan sahaja wang untuk kegunaan masa hadapan lagi-lagi ketika kecemasan.
Pertimbangan itu bukan semata-mata soal kewangan, tetapi tentang nilai, sama ada kenangan waktu bersama lebih utama atau kestabilan hari tua yang harus diutamakan.
Baru-baru ini, seorang pengguna di Threads membuat satu hantaran berhubung dilema tersebut.
BACA LAGI: Tabiat tolak kerusi ke dalam selepas diguna biasanya mencerminkan 8 sifat unik ini
BACA LAGI: Bermula secara tidak sengaja, Boss Mama kini tembusi pasaran antarabangsa, solusi buat ibu moden
Jika mahu keluar melancong, pastikan bajet tidak melebihi kemampuan. — Gambar hiasan/Freepik
"Kalian rasa patutkah keluarga dengan kewangan biasa-biasa habiskan duit untuk melancong demi mencipta kenangan atau sekadar lakukan ativiti di rumah sahaja sambil menyimpan wang simpanan hari tua?," soal @hazwansalikin.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya memilih untuk membelanjakan wang untuk melancong.
Pengguna @i.am.adila, misalnya, menceritakan bagaimana bapanya yang hanya memiliki Proton Saga tetap membawa mereka sekeluarga menjelajah Malaysia.
“Bak kata orang putih, duit sentiasa boleh dicari, tetapi kenangan, sekali terlepas, tidak boleh berpatah balik masa itu," katanya sambil menambah bahawa rezeki datang jika diri reda dan selalu bersyukur.
Sementara itu, seorang pengguna percaya masa muda dan sihat adalah waktu terbaik untuk mencipta memori bersama anak-anak.
"Hidup ini singkat. Tidak mampu ke luar negara, dalam negara pun boleh. Tidak mampu jauh, dekat pun boleh," kata @hafizahwani.
Namun begitu, ramai juga yang menasihatkan supaya berbelanja dengan lebih bijak.
“Bercuti ikut kemampuan, tetapi jangan sampai kena berhutang,” tegas @faizah_zulfayad.
Ada juga yang berkongsi tip menjimatkan seperti memasak sendiri, membawa bekal dan memilih penginapan bajet.
"Melancong tidak semestinya pergi jauh, dalam Asia pun banyak tempat menarik. Cipta memori selagi sihat tubuh badan, duit boleh dicari, masa bersama keluarga itu yang tiada nilai," ujar @arethazhea.
Manakala bagi @hunnyapis, dia tidak menggalakkan untuk terlampau memikirkan masa depan kerana ia tidak boleh memberi apa-apa jaminan.
"Pergi travel. Simpan sikit untuk masa depan tetapi jangan sampai berkira untuk masa kini. Terlampau risau untuk masa depan tidak boleh juga sebab tidak pasti boleh merasa masa depan atau tidak.
"Anggap sahaja ia ganjaran untuk diri sendiri. Kalau bukan diri sendiri yang guna siapa lagi," ujarnya.
Justeu, setiap keluarga ada cara tersendiri untuk mencipta kenangan bersama keluarga tersayang.
Apa yang penting, seimbangkan antara kebahagiaan hari ini dan keperluan masa depan tanpa menekan diri atau kewangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram