
MENGINJAK ke alam dewasa, golongan muda sering mengalami desakan untuk berkahwin daripada keluarga mahupun orang sekeliling.
Dalam sesetengah keluarga, harapan untuk melihat anak mereka mendirikan rumah tangga menjadi satu keutamaan, yang kadang-kala boleh menyebabkan tekanan emosi kepada individu terbabit.
Kini, dengan lebih banyak aplikasi mencari jodoh, ramai mengambil inisiatif untuk menggunakan platform tersebut.
Baru-baru ini, satu hantaran di Threads menarik minat ramai apabila seorang penggunanya berkongsi keresahannya tentang cabaran mendapatkan jodoh dalam keadaan yang terhad, ditambah pula dengan tekanan ibu bapa yang sudah menetapkan tahun perkahwinannya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang memberikan pandangan dan pengalaman masing-masing.
Rata-rata daripada mereka mencadangkan untuk mengguna aplikasi cari jodoh dalam talian.
"Melalui aplikasi cari jodoh. Alhamdulillah, perkahwinan sudah memasuki tahun keempat," kata @izzabas.
"Saya jumpa suami di aplikasi cari jodoh. Taaruf dan ke fasa seterusnya kurang daripada setahun," @xnurulatikahismailx.
"Saya pun bukan jenis bersosial, adakan hubungan pun tidak dibenarkan. Jadi, saya cari pasangan melalui talian. Tetapi kena jaga diri, bersikap selektif dan berpegang teguh kepada prinsip diri," jelas @earthlier14.
Bagaimanapun, ada yang mengambil pendekatan lebih santai dengan membiarkan jodoh datang secara semula jadi atau ‘follow the flow’.
"Biasa jodoh kita dekat-dekat, kita yang tidak perasan. Jodoh saya duduk depan pintu pejabat sebelah," kongsi @fazzy7277.
"Tidak mencari dan tidak mengejar sebab jodoh urusan Allah. Dia dating sendiri apabila tiba masanya," kata @annenurshukery.
Selain itu, dari aspek hukum mencari jodoh secara dalam talian, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan platform mencari jodoh secara dalam talian pada dasarnya dibenarkan berdasarkan prinsip fiqah, iaitu sesuatu perkara dianggap harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.
Tujuan utama mestilah untuk kebaikan dan jika disalahgunakan bagi perkara yang bertentangan dengan syariat, maka hukumnya menjadi haram.
Memetik sumber saripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), jika sukar menemui jodoh, peranan wali perlu dikembalikan kepada fungsi asalnya dan hendaklah melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya demi kesinambungan keturunan dan zuriat.
Dalam konteks mencari jodoh secara dalam talian, wali boleh membantu dengan menilai kesesuaian calon, mengawasi perbincangan serta memberikan nasihat agar keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram