DALAM usaha mengembalikan pasukan bola sepak wanita Sabah kembali memberi cabaran di pusingan domestik, pasukan itu mengumumkan pelantikan Bobby Gonzales, sebagai ketua jurulatih baharu.
Pelantikan bekas penyerang kebangsaan berkenaan diyakini mampu membawa skuad The Rhinos ke tahap lebih tinggi susulan Bobby mempunyai pengalaman yang banyak dalam landskap bola sepak tanah air.
Untuk rekod, anak jati Sabah itu sudah pun merekodkan lebih daripada 100 gol sepanjang kariernya selain turut memenangi anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali untuk kategori tempatan.
BACA LAGI: Layangan kad merah 'bunuh' momentum Sabah FA, Kelana United muncul juara LWN 2024
BACA LAGI: Bakal berdepan juara LWN 2024, ada 3 sebab Sabah FC perlu awasi Steffi-Intan Serah
Bobby bergelar pemain profesional di Malaysia selama 17 tahun dan pernah mewakili Sabah serta Sarawak dengan jumlah keseluruhan gol dicatat sebanyak 95 jaringan keseluruhannya.
Rekod mengagumkan Bobby sepanjang bergelar pemain itu membuatkan penyokong optimis jurulatih berusia 40 tahun itu mampu membantu Sabah kembali memenangi Liga Wanita Nasional (LWN).
“Musim depan boleh rampas balik kejuaraan,” kata penyokong Sabah, Rafia Żali.
“Pelantikan Bobby mampu membawa pasukan wanita Sabah di aras yang lebih baik,” jelas penyokong The Rhinos, Mohd Badrul Bagul.
Pada musim lepas, Sabah muncul sebagai naib juara LWN 2024, dengan perbezaan sembilan mata di belakang Kelana United yang mengumpul 39 mata.
Dalam pada itu, bagi memperkukuhkan barisan kejurulatihan, Bobby tidak keseorangan kerana akan turut dibantu oleh Petronella Douny, yang dilantik sebagai penolong jurulatih.
Sementara itu, Sabah FA turut menzahirkan penghargaan kepada Justin Ganai, yang sebelum ini membimbing Pasukan bola sepak wanita Sabah sepanjang musim 2023-2024.
Sabah menjuarai Liga Wanita Nasional 2023 dan muncul naib johan pada musim 2024. — Facebook/Sabah
Di bawah kepimpinan Justin Ganai, pasukan itu berjaya meraih pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk menjuarai Liga Wanita Nasional 2023 dan muncul naib johan pada musim 2024.
Selain itu, kejayaan pasukan pada tahun 2023 turut membuka laluan untuk pasukan bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah sebagai wakil pertama Malaysia ke kejohanan Asian Women Champions League.
Sebagai penghormatan terhadap sumbangan besarnya, Justin Ganai kini dilantik sebagai timbalan pengurus pasukan bagi musim 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram