KEPUTUSAN sedikit menghairankan diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menjelang saingan Piala AFF 2024 yang bakal bermula Disember ini.
Ini kerana berdasarkan senarai 26 pemain dipanggil, ada dalam kalangan mereka tidak pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dengan sebahagian daripadanya masih boleh dilabel 'ubi muda'.
Tidak cukup dengan itu, beberapa tonggak seperti Arif Aiman Hanapi dan Syihan Hazmi tidak disenaraikan memandangkan masing-masing lebih fokus kepada khidmat di peringkat kelab.
BACA LAGI: [VIDEO] Arif Aiman hanya 'over react', tiada isu 'referee' tak adil enggan beri penalti
BACA LAGI: Pakar label Hamidin makin kurang popular untuk kekal jadi Presiden FAM
Piala AFF tidak lagi meriah jika dibandingkan dengan edisi-edisi lalu.
Hal itu sekali gus menceritakan bahawa badan induk bola sepak negara tersebut melihat saingan Piala AFF sebagai sasaran utama mereka seperti tahun-tahun sebelum ini.
Pandangan demikian mencetuskan perpecahan dalam kalangan peminat Harimau Malaya dengan ada yang menyokongnya manakala sebahagian lain berasa sebaliknya kerana pertandingan tersebut memberi peluang mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Namun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, keputusan FAM itu sebenarnya sudah boleh dijangka kerana ia pernah heboh di media sosial sebelum ini.
Menurutnya, penganjuran Piala AFF yang tidak dibuat dalam kalendar FIFA menyaksikan saingan di peringkat domestik berjalan seperti biasa, sekali gus menyebabkan percanggahan itu berlaku.
Skuad Piala AFF dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman. — Facebook/FAM
"Saya sudah jangka kerana pernah diberitahu bahawa disebabkan liga sedang berjalan, maka kebanyakan pasukan tidak melepaskan pemain utama. Jadi, inilah saja pemain yang tersedia buat Piala AFF kali ini yang boleh diibaratkan tiada rotan, akar pun berguna.
"Peminat janganlah berikan harapan yang tinggi untuk bergelar 'Raja Asia Tenggara', sebaliknya mengharapkan pemain terpilih boleh beri yang terbaik untuk Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti.
Skuad kebangsaan yang sebelum ini kerap dibarisi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan sedikit kelainan kerana hanya tiga bintang dilepaskan juara Liga Super itu dengan kesemuanya diserap dari skuad Piala MFL.
Ini merupakan perbezaan besar berbanding kempen Piala AFF yang lalu dengan khidmat dan sumbangan pemain Harimau Selatan diperlukan dalam hampir kesemua posisi.
Zulakbal beranggapan Piala AFF sebagai medan terbaik buat pemain muda.
Namun, untuk mengatasi masalah itu, Pau Marti mengambil keputusan menyenaraikan pemain yang kian meningkat naik seperti Jimmy Raymond dari Kuching City FC dan tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Fazrul Amir Zaman.
Perkara itu turut disokong Zulakbal yang mengharapkan kesemua 26 mereka yang dipanggil dapat menampilkan persembahan terbaik untuk sekurang-kurangnya memberikan saingan kepada pihak lawan.
"Ini peluang yang baik untuk pemain muda menunjukkan bakat masing-masing dan mencapai sesuatu yang membanggakan di kejohanan kali ini," kata pensyarah dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.
Skuad kebangsaan akan memulakan kempen Piala AFF dengan aksi menentang Kemboja di tempat lawan pada 8 Disember sebelum menerima kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur tiga hari kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram