KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk melakukan penambahbaikan di Stadium Darul Makmur, Pahang menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa berpindah ke Stadium Temerloh.
Perpindahan itu pada awalnya menimbulkan persoalan kerana penyokong mempersoalkan kelewatan badan bola sepak negeri itu untuk melakukan kerja-kerja menambah baik keadaan 'rumah' Sri Pahang FC itu.
Selain itu, mereka berasakan penggunaan Stadium Temerloh akan memberi kesan terhadap prestasi pasukan dengan ia dibuktikan berdasarkan kedudukan semasa kelab Pantai Timur berkenaan dalam Liga Super.
BACA LAGI: Orang kuat bola sepak Pahang meninggal dunia akibat kemalangan di Pekan
BACA LAGI: Lama sebelum bertemu Harimau Malaya, bek otai New Zealand pernah cuba nasib di Pahang
Skuad Tok Gajah terpaksa beraksi di Stadium Temerloh sementara kerja-kerja menambah baik Stadium Darul Makmur diadakan.
Namun, keputusan menjalankan proses menambah baik Stadium Darul Makmur itu membuahkan hasil apabila baru-baru ini, laporan menyebut venue tersebut sudah hampir bersedia untuk digunakan.
Berdasarkan kemas kini dikongsikan, rumput jenis Bermuda Tifgrand akan ditanam bagi menggantikan 'cowgrass' selain sistem saliran akan ditambah baik untuk mengurangkan isu takungan air setiap kali hujan lebat.
Perkembangan itu membuktikan tindakan PBNP memindahkan 'rumah' Tok Gajah musim ini membuahkan hasil kerana kualiti di Stadium Darul Makmur akan lebih memuaskan pada tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, di sebalik kepuasan itu, sebahagian penyokong masih belum boleh tersenyum lebar memandangkan masing-masing mengharapkan perubahan juga dapat disaksikan dari segi aspek permainan.
Kerja-kerja menukar rumput Stadium Darul Makmur berjalan lancar. — Facebook/Perbadanan Stadium PSDM
"Pakai lah rumput dari langit sekali pun, tetapi kalau pasukan Sri Pahang masih kekal seperti mana sekarang, tiada gunanya juga," kata Ebby Danial Mokhtar.
"Rumput sudah canggih, pasukan bola sepak kalau tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan, lebih baik dirobohkan sahaja Stadium Darul Makmur itu," kata Kamal Abdul Samad.
Laungan daripada penyokong skuad Tok Gajah sememangnya perkara relevan untuk disuarakan kerana ketika ini pasukan terbabit berada di tangga kelapan selepas 13 perlawanan.
Meskipun masih berpeluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia, persembahan ditunjukkan sepanjang musim masih belum cukup memuaskan.
Sebelum ini, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Kamal menegaskan rumput jenis Bermuda Tifgrand yang pertama kali diguna dalam negara dipilih kerana ia terbukti lasak, lebih hijau dan tumbuh dengan rapat.
Penggunaannya diharapkan mampu menghadiahkan hasil lebih baik memandangkan isu padang dan saliran yang berterusan boleh menjejaskan semangat penyokong untuk hadir ke stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram