PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dasar yang diambil Kerajaan Madani tidak akan mengetepikan kepentingan golongan miskin di dalam negara.
Mengambil contoh majlis pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa, Kuala Lumpur pada Khamis, Anwar berkata, ia adalah projek yang memberi manfaat dan keselesaan kepada kumpulan yang kurang berkemampuan untuk tinggal di bandar.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur beri kelulusan dalam tempoh 45 hari...rekod sebelum merdeka sampai sekarang kerana selalunya kelulusan itu antara lapan bulan hingga satu tahun dua bulan.
"Tapi kalau syarikat itu sediakan umpamanya geotech study, EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) dan seluruhnya dengan mantap, tidak ada sebab tidak boleh diberikan kelulusan dengan begitu cepat.
"Saya syukur kerana dalam masa singkat kita tunjukkan bukti pelaksanaan dengan lebih berkesan. Apabila kita meluncurkan projek perumahan rakyat Madani RM200,000 ke bawah di Taman Desa, jadi berdekatan dengan kawasan perumahan tinggi (mewah),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Bagan Serai, Perak pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, terdapat penduduk yang menulis bantahan kepada beliau dengan mengatakan projek berkenaan tidak sesuai kerana melibatkan bangunan tinggi yang mungkin menjejaskan kebersihan dan kesesakan di kawasan sekitarnya.
Anwar berkata, Kerajaan Madani harus mengetepikan dasar yang mengesampingkan kepentingan kelompok lebih miskin. — Gambar hiasan
Menjawab persoalan itu, beliau berkata, perumahan mewah yang dibangunkan di kawasan itu dahulunya dibina di atas tanah kampung dan ada sebahagian tanahnya dibeli dengan harga murah.
"Jadi siapa yang mencuci, siapa yang akan baiki elektrik, siapa yang akan sediakan kemudahan lain kalau bukan pekerja kelas bawahan. Di mana mereka harus tinggal? Di ceruk rantau?... tidak munasabah.
"Saya tidak mempedulikan bantahan itu asalkan rumah itu tiga bilik, 800 kaki persegi, pengurusan dan penyelenggaraan baik, ada taman hijau, ada taman permainan, jaminan kebersihan, memadailah.
"Jika tidak (tidak ada projek perumahan rakyat), kita ada satu dasar mengingatkan kepada karya Charles Dickens ‘A Tale of Two Cities’ iaitu ada satu kota indah di mana ada kelompok paling miskin dan ada kelompok maha kaya," ujarnya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani harus mengetepikan dasar yang mengesampingkan kepentingan kelompok lebih miskin.
"Saya harap ini jadi satu pengajaran kepada semua bandar dan kota,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram