PASTINYA rakyat Malaysia memiliki cinta yang mendalam terhadap bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan sejak negara ini memperoleh kemerdekaan.
Kedudukan bahasa Melayu terus dipandang tinggi bukan sahaja di Malaysia, malahan di mata dunia.
Namun, sejak Selasa, tular mengenai seorang pelancong dipercayai warga Indonesia, Yusuf Hendranto yang memperlekehkan bahasa Melayu semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
"Saya sudah tiba di lapangan terbang, ada beberapa ayat yang buat saya ketawa habis-habisan. Antara kalimatnya adalah tuntutan bagasi. Dituntut ngak tuh?," katanya dalam video sambil menunjukkan papan iklan yang berada di KLIA.
Menerusi rakaman terbabit, lelaki itu turut menyatakan bahawa ini kali pertama dia datang ke Malaysia yang menyebabkan dia agak aneh apabila mengetahui perkataan dalam bahasa Melayu.
"Pertama kali datang ke Malaysia, pertama kali baca bahasa Melayu agak aneh but fun, saya ketawa-ketawa sendirian di sini," katanya lagi.
Pelancong asing tersebut menunjukkan papan iklan sambil mengetawakan bahasa Malaysia.
Lelaki terbabit menerima kecaman daripada rakyat Malaysia atas cubaan beliau untuk membuat jenaka dengan bahasa Malaysia.
Seorang pengguna, dengan nama samaran Beryl yang mengakui merupakan orang Sumatera turut tidak berpuas hati apabila bahasa Malaysia diperlekehkan.
"Saya penat dengan orang Indonesia yang tiada sekurang-kurangnya memiliki respect.
"Saya tahu itu gurauan tetapi apabila bahasa anda (Indonesia) juga ada berkait rapat dengan bahasa kebangsaan ini yang membuat saya kesal. Terutama apabila saya sebagai orang Sumatera," tulisnya.
Seorang pengguna, dengan nama Iris turut mengakui sering menggunakan bahasa Melayu baku apabila berinteraksi dengan rakyat dari luar yang datang ke negara ini bagi mengelak isu-isu sebegitu berlaku.
"Sebab itu bila pelancong ini berkomunikasi dengan aku dekat lapangan terbang, aku akan keluarkan bahasa Melayu baku terus. Memang tidaklah aku mahu ikut slang-slang bahasa mereka pula," tulisnya.
BACA LAGI: Puasa bercakap beri manfaat kepada kesihatan jantung, mental
Seorang pengguna, dengan nama Akemall beranggapan hanya rugi jika datang ke lapangan terbang semata-mata untuk mengutuk bahasa Melayu.
"Membazir duit sahaja semata-mata mahu baca bahasa Melayu di lapangan terbang, Google kan ada. Intelligence Quotient (IQ) s***t s***t," tulisnya.
Pengguna lain dengan nama samaran Faiz pula beranggapan isu bahasa kebangsaan tidak boleh dibuat main.
"Jadah kau nak bergurau macam itu sekali! Ini bukan benda yang kau suka-suka boleh bawa gurau lah, benda main isu sensitiviti. Baca kau punya kapsyen pun dah tahu nak meng*****g," tulisnya.
Ada juga pengguna dengan nama Yudhia yang berharap orang sebegini tidak mendapat keizinan untuk membuat konten.
"Orang macam ini memang sepatutnya tidak diberi keizinan untuk pakai media sosial dan buat konten.
"Buatlah konten yang baik, bukannya datang ke negara orang dan menjelek-jelekkan bahasa negara lain, keterlaluan b***h," tulisnya.
Terdapat juga seorang pengguna dengan nama Aliff Alias berharap pelancong memiliki adab ketika berkunjung ke negara orang.
Aliff Alias turut menyenaraikan empat adab ketika berkunjung yang perlu dibuat seseorang pelancong yang mahu datang ke Malaysia.
"Pertama menghormati budaya, adat, agama dan penduduk setempat, kedua elak memperlekehkan atau memburukkan negara tersebut, ketiga pengunjung perlu patuh pada undang-undang yang ditetapkan, keempat seseorang sepatutnya kaji dan ambil tahu sedikit sebanyak latar belakang negara tersebut," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram