DEBUT Indonesia di pentas Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) membuat kejutan kepada kuasa besar Asia apabila skuad Sang Garuda buat pertama kalinya mara ke pusingan suku akhir Piala Asia B-23 di Qatar.
Indonesia yang dianggap bukan pasukan pilihan itu menang besar dalam aksi terakhir Kumpulan A apabila membelasah Jordan 4-1 pada saingan Piala Asia B-23 sekali gus dinobatkan sebagai naib juara kumpulan A dengan mengumpul enam mata.
Jaringan gol pertama negara Asia Tenggara itu hadir pada minit ke-23 apabila Maselino Ferdinan menyempurnakan sepakan penalti dan Witan Sulaeman menggandakan jaringan buat Indonesia pada minit ke-40.
Memasuki babak kedua, penyerang tinggi lampai, Maselino menambah gol ketiga pada minit ke-23 dan malam bersejarah Indonesia di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar itu ditutup dengan tandukan dari Komang Teguh pada minit ke-86.
Lolos ke peringkat suku akhir itu semakin menghidupkan peluang buat skuad kendalian Shin Tae-yong untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 Paris selepas kini mereka hanya perlu fokus untuk mara ke saingan semi final.
Kejayaan Indonesa itu bukan hanya menggembirakan penyokong Timnas Indonesia kerana peminat tanah air juga senang hati melihat anak-anak buah Tae-yong memberi saingan sengit walaupun berstatus pendatang baharu.
Malah, perubahan positif dalam permainan Indonesia dari segi penguasaan bola serta kreativiti dalam berusaha mendapatkan jaringan juga mendapat pujian penyokong sehingga ada yang melabel corak permainan Tae-yong seolah-olah zaman prime Barcelona dan Liverpool.
"Tengok Timnas Indonesia main semalam mantap betul. Kreatif macam Barcelona dulu-dulu zaman Messi. Terbaik Indonesia. Tahniah dari Malaysia," kata penyokong Malaysia, Adel Mokhtar.
"Saya tengok Indonesia main dah macam tengok perlawanan Liverpool. Koordinasi permainan mereka sangat mengujakan. Rasanya Indonesia boleh jadi kuda hitam untuk kejohanan kali ini. Harap Indonesia akan layak ke separuh akhir untuk layak ke Olimpik Paris," bagi penyokong, Pupung Dimas.
"Tengok Indonesia main macam dah boleh sahkan yang mereka akan dapatkan slot ke Olimpik 2024," tambah penyokong Vietnam, Duong Minh Viet yang turut tumpang gembira dengan kejayaan Indonesia.
Sementara itu, Malaysia gagal untuk layal ke pusingan seterusnya dalam aksi Piala Asia B-23 di Doha, Qatar selepas tewas kepada pasukan Vietnam 0-2 walaupun sudah cuba sedaya upaya untuk meraih keputusan yang positif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram