Sindrom terlupa anak : Jangan sampai jadi mimpi ngeri ibu bapa


  • Massa
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Insiden forgotten baby syndrome tidak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya ia adalah fenomena yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia. — Gambar Hiasan

"MACAM mana mak ayah boleh terlupa anak dalam kereta? Tak logik langsung,".

Itu antara kecaman yang sering dilontarkan masyarakat apabila muncul kes melibatkan ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta untuk satu tempoh masa yang lama.

Lebih memilukan, ada antara bayi atau kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan meninggal dunia.

Namun adakah kita patut meletakkan 100 peratus kesalahan itu kepada ibu bapa? Atau ada faktor lain yang mendorong 'kecuaian' itu daripada berlaku?

Insiden ibu bapa atau penjaga yang secara tidak sengaja meninggalkan anak di dalam kenderaan yang berkunci disebut sebagai forgotten baby syndrome atau sindrom terlupa anak.

Malah, insiden itu tidak hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya ia adalah fenomena yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Untuk rekod, lebih 25 peratus ibu bapa yang mempunyai anak di bawah usia tiga tahun pada bila-bila masa boleh hilang kesedaran tentang kewujudan anak mereka di dalam kereta semasa memandu.

Lebih parah, setiap tahun, di seluruh dunia, berpuluh-puluh kanak-kanak meninggal dunia akibat strok haba atau hipertermia berkaitan dengan kenderaan.

Hipertermia melibatkan peningkatan suhu badan yang tinggi sehingga boleh mengakibatkan kematian.

Mengulas mengenai sindrom terlupa anak, Ketua pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Azad Abdul Rashid dilaporkan berkata, situasi ibu bapa yang tidak sengaja meninggalkan anak dalam kereta berlaku disebabkan kekurangan keupayaan kognitif yang disebabkan oleh tekanan atau tidak cukup tidur.

Namun katanya, sifat pelupa adalah normal tetapi ia tidak semestinya dianggap sebagai tanda seseorang itu mempunyai kekurangan keupayaan kognitif.

Ujarnya, kajian menunjukkan sifat pelupa berkait rapat dengan bagaimana otak berfungsi.

"Apabila seseorang itu perlu melakukan tugasan yang banyak, terdapat kemungkinan bahawa otak tidak dapat menilai kepentingan sesuatu perkara, jadi itu yang boleh menjurus kepada lupa.

"Perubahan rutin secara tiba-tiba kurang memberi petunjuk yang membuat otak sedar atau ingat akan perkara baru atau tambahan yang perlu dilakukan.

“Dalam kes terlupa anak di dalam kereta, kebanyakan ibu bapa mangsa (atau pemandu) berada dalam rutin yang berbeza dari hari biasa mereka hingga menyebabkan mereka tanpa sengaja tidak menyedari keberadaan kanak-kanak tersebut," katanya.

Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan tiga kes kematian anak atau bayi yang tidak sengaja ditinggalkan di dalam kereta.

1) Bayi berusia setahun tertinggal dalam kereta maut

Bayi berusia setahun tertinggal dalam kereta maut

Bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din dilaporkan berkata, polis menerima maklumat mengenai seorang bayi perempuan yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke pusat kesihatan IPTA pada pukul 4.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas bapa bayi tersebut terlupa untuk menghantar anaknya itu ke pusat asuhan kanak-kanak universiti berkenaan pada sebelah pagi.

Ujarnya, proses bedah siasat dibuat pada malam kejadian dan polis juga dalam proses mengambil kenyataan ibu bapa mangsa, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

2) Bayi doktor maut tertinggal 10 jam dalam kereta dekat parkir hospital

Bayi doktor maut tertinggal 10 jam dalam kereta dekat parkir hospital

Mangsa meninggal dunia di dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan HTCM.

Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 5.53 petang.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada hari sama.

"Hasil siasatan awal mendapati pada pukul 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri di dalam kereta untuk dihantar ke taska.

"Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska," katanya.

Seorang sumber memberitahu bahawa wanita tersebut bergegas ke tempat letak keretanya setelah dimaklumkan anaknya tiada di taska.

"Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya dan kemudian mengeluarkan mangsa untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.

Difahamkan bapa mangsa telah menghubungi isterinya dan memaklumkan anak mereka tiada di taska serta meminta isterinya pergi ke tempat letak kereta.

Kata sumber itu, bantuan pernafasan telah dilakukan oleh ibu mangsa selama kira-kira enam minit, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat.

3) Anak dua tahun maut tertinggal dalam kereta lepas balik sekolah

Anak dua tahun maut tertinggal dalam kereta lepas balik sekolah

Mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih selain melecur pada muka serta lengan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta yang dipandu ibunya di Taman Aman, Lahad Datu, Sabah pada 14 Jun 2019.

Dalam kejadian pada pukul 4.35 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih selain melecur pada muka serta lengan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa menemani ibunya menjemput pulang dua beradiknya yang lain di sekolah menaiki kereta Proton Bezza pada pukul 1 tengah hari.

“Sebaik tiba di rumah, ibu mangsa meletakkan kereta dan berpesan pada anak sulungnya untuk membawa mangsa keluar.

“Ibu mangsa terus naik ke tingkat atas rumah untuk solat dan tertidur. Pada pukul 3.35 petang, wanita itu turun ke bawah untuk makan lalu memanggil mangsa namun tiada jawapan.

“Wanita itu bergegas mencari di sekeliling rumah namun tidak menemuinya sehinggalah mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kesan haba," ujarnya.

4) Padah terlupa, kanak-kanak empat tahun maut tertinggal dalam kereta

Padah terlupa, kanak-kanak empat tahun maut tertinggal dalam kereta

Mangsa berusia empat tahun dipercayai tertinggal di dalam kereta jenis Proton Wira.

Seorang bapa di Sungai Petani kehilangan anak perempuannya buat selama-lamanya selepas kanak-kanak itu maut dipercayai akibat sesak nafas setelah ditinggalkan di dalam kereta di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah pada 14 Ogos 2020.

Mangsa berusia empat tahun dipercayai tertinggal di dalam kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan tempat kerja bapanya hampir 10 jam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Bapa mangsa berusia lingkungan 30-an terlupa anaknya berada di dalam kereta lalu meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta dimatikan dan tingkap bertutup,” kata Adzli.

Beliau berkata, sebelum kejadian, lelaki itu telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur.

“Dia terlupa seorang lagi anaknya sedang tidur di tempat duduk belakang yang mana lelaki itu sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir.

“Ketika mahu pulang kira-kira pukul 6.30 petang, lelaki itu menemui anak keempat daripada lima beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram