Serbu 58 premis kotor, ramai minta DBKL buat operasi di UTC Sentul, Taman Dato Senu


DBKL mengadakan Operasi Sepadu Bersih di sekitar Kuala Lumpur dan mengarahkan tiga premis untuk ditutup pada Selasa.

ISU pengendali makanan yang mengabaikan kepentingan penjagaan kebersihan dalam urusan perniagaan bukanlah perkara baharu.

Buktinya, pada Selasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan mengenai pengarahan penutupan sebanyak tiga premis makanan serta 65 kompaun pelbagai kesalahan.

Perkara itu dibuat selepas DBKL melakukan pemeriksaan terhadap 58 premis dalam Operasi Sepadu Bersih di sekitar Kuala Lumpur.

"Pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan," kata DBKL menerusi satu hantaran di Facebook.

BACA LAGI: 'Saya fokus dekat Iqbal dan Datuk Vida', komposer terkenal enggan buat lagu raya untuk Datuk Seri Aliff Syukri

428615239_940152537673436_4838776718339284275_n

Salah sebuah kedai yang diserbu dalam operasi DBKL.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

Dalam pada itu, DBKL turut memaklumkan akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.

Tindakan DBKL melakukan operasi itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata menyokong untuk mempertingkatkan lagi serbuan di sekitar premis makanan lain.

Antaranya, salah seorang pengguna di Facebook dengan nama Yus Yusbetta gembira apabila premis makanan sentiasa di kawal oleh DBKL.

"Alhamdulillah teruskan," tulisnya.

Selain itu, terdapat juga pengguna dengan nama Simon Kam berharap agar serbuan dibuat di beberapa premis yang didakwa tidak mementingkan aspek kebersihan.

"Sila datang ke UTC Sentul dan Taman Dato Senu," tulisnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna dengan nama Tunku Rawiyah turut mendedahkan beberapa premis kotor dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Lepas ini serbu pula premis-premis kotor di sekitar Taman Dato Senu dan Bandar Baru Sentul di Parlimen Batu. Terima kasih," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram