BARU-baru ini, pempengaruh yang juga usahawan terkenal, Khairul Aming tampil memperkenalkan produk makanan terbaharunya di pasaran yang dikenali sebagai Dendeng Nyet Berapi.
Orang ramai ternyata memberikan sambutan cukup luar biasa apabila sebanyak 80,000 unit produk tersebut bernilai RM1.2 juta berjaya dihabiskan hanya dalam tempoh tiga minit 39 saat bersamaan.
Bagaimanapun, di sebalik fenomena tersebut, terdapat juga cerita kurang enak yang berlaku.
Ia selepas terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual semula produk tersebut dengan harga lebih tinggi daripada harga asal sehingga mencecah RM39.90.
Untuk rekod, Dendeng Nyet pada asalnya dijual pada harga RM14.90.
Tindakan individu yang juga dikenali sebagai scalper itu tentunya mendapat kritikan daripada orang awam yang menganggap tindakan tersebut adalah tidak begitu beretika.
Khairul Aming
Sehubungan itu, pelbagai cara digunakan kumpulan itu bagi membolehkan mereka memasarkan produk tersebut di platform jualan atas talian.
Pada Ahad, tular mengenai taktik yang digunakan oleh satu akaun dipercayai scalper yang menjual Dendeng Nyet pada harga yang sekali ganda tinggi berbanding harga asal.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik akaun tersebut menggunakan alasan dia terpaksa menjual kembali produk berkenaan kerana tidak dapat menggunakannya akibat pembatalan sebuah majlis.
"Kami beli untuk satu majlis tetapi majlis itu dihentikan. Jadi, kami jual balik di sini. Kami minta maaf sebab harga tinggi. Kami terpaksa cover balik kerugian.
"Anda boleh beli hanya kalau berminat. Ada beberapa sahaja yang tinggal," tulisnya di ruangan keterangan produk berkenaan yang dijual pada harga RM39.90.
Tangkap layar keterangan pada produk yang dijual di platform atas talian. — Facebook
Perkongsian itu ternyata mendapat reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya memberikan komen sini terhadap penjual terbabit.
"Maaf kami juga tak akan beli jika harga terlalu tinggi dari harga asal. Semoga dipermudahkan segala urusan," tulis Nall Halim.
"Harap tak ada orang beli biar dia makan sendiri sampai muntah," kata Hariz Haikal.
"Senang ya kau nak gula-gulakan orang? Berapa dozen kau dapat beli tu? Kita berebut nak dapat satu pun hampehhh," ujar Hazelin Zainal.
"Kalau beli dengan dengan KA RM15 sepeket. Kau jual dua kali ganda setengah. Cekik kedarah la kau sendiri. Moga dipersulitkan," kata Lieya Miesuliah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram