Tolak prosedur 'ditidurkan' sebab bahaya atau doktor dapat komisyen? Pegawai perubatan tampil beri penjelasan


  • Massa
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Wujud stigma dalam kalangan orang ramai menganggap tindakan menidurkan pesakit yang mengalami komplikasi kesihatan adalah perbuatan yang boleh menjadi punca kepada kematian. — Gambar hiasan

BARU-baru ini, terma perubatan 'ditidurkan' menjadi perkataan yang cukup negatif dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ia selepas wujud stigma orang ramai menganggap tindakan menidurkan pesakit yang mengalami komplikasi kesihatan adalah perbuatan yang boleh menjadi punca kepada kematian.

Malah, terdapat perkongsian yang tular di media sosial memaparkan tindakan sesetengah ahli keluarga yang menolak cadangan pegawai perubatan untuk melaksanakan prosedur tersebut terhadap pesakit.

Ini kerana mereka menganggap bahawa prosedur tersebut adalah berbahaya dan turut berpandangan bahawa keputusan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada ikhtiar untuk menyembuhkan ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, mengulas mengenai perkara tersebut, seorang pegawai perubatan tampil memberikan penjelasan mengenai salah faham wujud dalam kalangan masyarakat itu.

BACA LAGI: Tiga mitos tentang dos penggalak yang perlu kita tahu

Menurut Wazien Wafa, kepercayaan salah yang berlaku dalam kalangan orang awam mengenai terhadap prosedur menidurkan pesakit atau intubasi adalah sesuatu yang berbahaya.

Ini kerana menurut doktor bahagian kecemasan itu, prosedur untuk melaksanakan perkara tersebut bukanlah dibuat sesuka hati oleh pegawai perubatan.

"Terdapat beberapa indikasi untuk pesakit intubate (intubasi) antaranya kegagalan pernafasan atau keadaan pesakit yang semakin merosot.

"Untuk pesakit diintubasi terdapat tiga jenis ubat perlu diberikan antaranya ubat tahan sakit (analgesic), ubat tidur (sedation), dan ubat paralysis (muscle relaxant).

"Ini untuk memastikan proses ini boleh dilakukan dengan selamat dan berjaya. Disebabkan itu terma 'ditidurkan' wujud," ujarnya menerusi perkongsian di laman X.

1149240

Pesakit yang perlu melalui proses intubasi di unit kecemasan atau ICU lazimnya merupakan pesakit yang amat kritikal dan berada di hujung nyawa. — Gambar hiasan

Menurut Wazien Wafa, pesakit yang perlu melalui proses intubasi di unit kecemasan atau ICU lazimnya merupakan pesakit yang amat kritikal dan berada di hujung nyawa.

Disebabkan itu katanya, tidak mustahil risiko pesakit berkenaan untuk mengalami kematian adalah lebih tinggi memandangkan tahap komplikasi penyakitnya yang lebih teruk berbanding pesakit biasa.

BACA LAGI: Hentikan mitos tepuk dan terbalikkan bayi, ini kaedah tepat beri bantuan CPR

Pada masa sama, mitos yang mendakwa doktor menerima komisyen sekiranya pesakit dibenarkan melalui proses intubasi juga adalah satu salah faham yang perlu diperbetulkan.

"Doktor kerajaan tidak mendapat sebarang bayaran untuk proces ini. Tetapi terdapat caj di hospital swasta kerana dalam operasi mereka, semua prosedur dikenakan caj," ujarnya yang kini bertugas di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Pahang.

Wazien Wafa berkata, konotasi negatif yang wujud terhadap prosedur intubasi mungkin berlaku kerana banyak kes pesakit meninggal dunia selepas ditidurkan yang dilaporkan di media.

"Kalau berita nak siar cerita orang yang selamat selepas diintubasi rasanya dari muka depan sampai ke ruangan sultan penuh dengan berita itu," jelasnya.

Selain kecemasan, dia berkata, prosedur intubasi juga dilakukan untuk pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Ujarnya, komplikasi untuk pesakit dalam kumpulan ini amat rendah kerana keadaan mereka lebih baik berbanding kes di pusat kecemasan atau ICU.

"Jadi janganlah menakutkan rakyat dan memberi persepsi buruk terhadap prosedur ini.

"Saya tak pernah lagi berjumpa dgn doktor-doktor yang melakukan intubasi tanpa menimbang risiko dan faedah terhadap pesakit," katanya yang juga pernah bertugas sebagai doktor perubatan untuk Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram